
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, cabaran utama presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) itu ialah rundingan agihan kerusi menjelang PRU16 yang dijadualkan berlangsung selewat-lewatnya Februari 2028.

Jelasnya, Umno yang dianggap “abang besar” dalam BN pasti menuntut kerusi paling banyak untuk ditandingi.
Sebaliknya, PBRS yang hanya memiliki satu kerusi Parlimen dan kerusi negeri – masing-masing di Pensiangan serta Sook yang dimenangi Kurup – dijangka mempunyai pengaruh terhad dalam rundingan itu.
“Jika akar umbi Umno berasa diketepikan ketua PBRS, risiko sabotaj dalaman boleh berlaku,” katanya kepada FMT.
Lee berkata, halangan utama lain ialah usaha mengikis imej Sabah BN sebagai “parti Semenanjung”.
Untuk mengatasinya, beliau berkata, Kurup perlu sedaya upaya memperjuangkan tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khasnya hak 40% hasil negeri itu.
“Beliau perlu lakukannya dengan lantang seperti parti tempatan bagi membuktikan BN Sabah bukan sekadar boneka Kuala Lumpur.”
Tetapi, menurutnya, pelantikan Kurup langkah positif untuk BN bagi menangani sentimen “Sabah untuk Sabahan” yang semakin meningkat dengan memberikan kepimpinan negeri kepada PBRS, satu-satunya parti berasaskan Sabah dalam BN.
Katanya, Kurup boleh menggunakan status PBRS sebagai parti tempatan demi kelebihannya dengan menonjolkan dirinya “anak jati negeri” yang mempunyai akses langsung kepada sumber persekutuan.
Ahli Parlimen dua penggal itu dilantik menteri sumber asli dan kelestarian alam dalam rombakan Jemaah Menteri pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bulan lalu.

Beliau ialah anak kepada pengasas PBRS, mendiang Joseph Kurup, yang menubuhkan parti itu sebagai serpihan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Lee berkata, Kurup yang berusia 43 tahun menepati profil pemimpin moden berpotensi menarik sokongan besar pengundi belia Sabah.
Menurutnya, PBRS sejak sekian lama bergantung kepada dominasi keluarga Kurup di Pensiangan dan Sook, namun pengerusi baharu BN Sabah itu kini perlu melangkaui pangkalan tempatannya untuk menjadi pemimpin negeri.
“Ini cabaran besar kerana Parti Gagasan Rakyat Sabah, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat pimpinan Peter Anthony sudah mendominasi ruang politik KDM, menyebabkan PBRS agak terhimpit.
“Tetapi, dengan jawatan pengerusi BN Sabah, parti ini julung kali dalam beberapa dekad berpeluang menonjolkan pengaruh di seluruh negeri untuk menjadi kuasa lebih dominan.”
Jadikan BN rakan strategik parti tempatan
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya menyifatkan pelantikan Kurup sebagai pembaharuan kepimpinan untuk mengembalikan keyakinan pengundi yang hilang pada PRN 29 Nov lalu.

Walaupun ini boleh menarik pengundi muda, profesional bandar dan pengundi atas pagar, beliau berkata, cabaran Kurup ialah menjadikan BN Sabah rakan strategik kepada parti tempatan.
“Kurup mempunyai kelebihan legasi keluarganya, khasnya dalam kalangan masyarakat KDM. Tetapi, realitinya ialah PBRS dilihat parti kecil dalam landskap politik Sabah, termasuk dalam kalangan KDM.
“Menjelang PRU16, pengerusi baharu BN Sabah perlu menyatukan gabungan itu dan menangani pelbagai kepentingan dalaman. Beliau juga perlu mengimbangi hubungan BN dengan parti tempatan Sabah supaya BN dilihat rakan strategik bagi aspirasi Sabah.”
Dengan BN Sabah berada di persimpangan kritikal, katanya, masa depan gabungan itu bergantung kepada keupayaan kepimpinan baharu membina kepercayaan, memupuk perpaduan dan menggerakkan agenda “Sabah first” yang meyakinkan, tetapi realistik.