Jawatan pengerusi PN tak boleh mansuh, ubah sewenang-wenangnya, kata Sanusi

Jawatan pengerusi PN tak boleh mansuh, ubah sewenang-wenangnya, kata Sanusi

Ketua pengarah pilihan raya PN berkata sebarang keputusan besar melibatkan struktur kepemimpinan PN perlu dibuat melalui konsensus semua parti komponen.

GRAND FINALE PN - BIDOR
Sanusi Nor berkata Majlis Presiden Perikatan Nasional dan jawatan pengerusi juga adalah dua perkara yang berbeza dan kedua-duanya ada di dalam perlembagaan.
PETALING JAYA:
Jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak boleh dimansuhkan atau diubah sewenang-wenangnya kerana ia termaktub jelas dalam Perlembagaan gabungan, kata Sanusi Nor.

Ketua pengarah pilihan raya PN berkata sebarang keputusan besar melibatkan struktur kepemimpinan PN perlu dibuat melalui konsensus semua parti komponen termasuk PAS, Bersatu dan parti lain dalam gabungan.

Katanya, Majlis Presiden PN dan pengerusi juga adalah dua perkara yang berbeza dan kedua-duanya ada di dalam perlembagaan.

“Perlembagaan PN khususnya Perkara 7 memperuntukkan penubuhan Majlis Presiden yang dianggotai presiden parti sebagai badan penasihat dan pengawal dasar.

“Manakala pengerusi PN pula berperanan sebagai eksekutif yang mempengerusikan Majlis Tertinggi. Ia adalah dua perkara berbeza.

“Tak bolehlah nak hapus satu. Dua-dua itu ada dalam perlembagaan,” katanya, menurut Berita Harian.

Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mendakwa parti itu bersama PAS telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu, menurut suatu surat bertarikh 27 Jan.

Menurutnya, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS akan mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dengan menegaskan pihaknya hanya setuju memperkasakan majlis presiden pada ketika ini.

Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan turut memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat mengesahkan persetujuan terhadap segala butiran yang terkandung di dalam surat tersebut, khususnya berkaitan cadangan pembentukan majlis presiden PN dan pemansuhan jawatan pengerusi PN.

Mengulas lanjut, Sanusi yang juga pengerusi PN Kedah mengakui perbezaan tafsiran terhadap perlembagaan boleh berlaku, namun perkara itu perlu dibincangkan, dirunding dan diperhalusi oleh pihak yang berkelayakan serta ahli kepada dokumen undang-undang berkenaan.

“Yang bukan ahli, jangan cakap, yang bukan ahli kepada sesuatu perkara, tak payahlah campur tangan. Bagi urusan itu kepada ahlinya, baru teratur.

“Saya pun bukan ahli kepada dokumen undang-undang itu, bagilah pakar yang cakap, begitu la dunia ini senang saja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.