Armizan tolak khabar angin Kiandee sertai GRS

Armizan tolak khabar angin Kiandee sertai GRS

Timbalan setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah itu berkata tiada perbincangan di peringkat gabungan berhubung perkara itu.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata sesiapa yang mahu menyertai GRS mesti mematuhi prinsip dan teras perjuangan gabungan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali menafikan khabar angin bahawa Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee bakal menyertai GRS.

Armizan berkata itu hanya satu spekulasi dan tiada perbincangan di peringkat gabungan berhubung perkara itu, lapor Sinar Harian.

“Sebagai seorang ahli politik senior, saya tidak fikir Kiandee akan membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti dalam tempoh terdekat,” katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu program di Papar, Sabah.

Bagaimanapun, Armizan menegaskan beliau tidak bercakap bagi pihak parti-parti komponen GRS.

“Perkara ini tidak pernah dibincangkan, apatah lagi mewakili mana-mana parti seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Demokratik (LDP) mahupun Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO),” katanya.

Parti komponen lain dalam GRS ialah Parti Gagasan Rakyat Sabah dan Parti Cinta Sabah.

Terdahulu hari ini, tular laporan sebuah portal berita yang mendakwa Kiandee berkemungkinan menyertai GRS.

Armizan turut berkata sebarang penyertaan dalam GRS mesti berasaskan prinsip perjuangan gabungan itu.

“Bagi saya, secara peribadi mana-mana pihak yang ingin menyertai GRS atau parti komponen tempatan perlu kembali kepada empat teras perjuangan GRS iaitu Sabah First, Sabah Prosper, Sabah Forward dan Sabah United.

“Kita perlu terbuka dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyertai parti tempatan serta berpegang kepada empat teras perjuangan ini. Apabila semua berada dalam landasan parti politik lokal, suara kita akan menjadi lebih kuat dan kita akan lebih kukuh apabila bersatu,” katanya.

Kiandee sebelum ini lantang mengkritik pemecatan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin, yang merupakan antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat parti itu pada Jumaat.

Beliau menuduh lembaga disiplin parti menyalahgunakan kuasa dalam memecat Hamzah, dan mendakwa lembaga itu ‘dimanipulasi’ untuk menutup kelemahan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin serta memastikan beliau terus berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.