
Beliau berkata, empat individu dikenal pasti sebagai pentadbir ketika tempoh sabotaj berkenaan telah dikeluarkan daripada sebarang akses pada 12.41 pagi tadi.
“Tanpa mendedahkan cara, kaedah atau pendekatan yang digunakan, keempat-empat pentadbir yang terlibat ketika tempoh sabotaj tersebut telah berjaya dikeluarkan daripada sebarang akses akaun,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Harris, empat pentadbir yang disahkan terlibat terdiri pegawai khas kepada timbalan presiden yang dipecat, Hamzah Zainudin, serta pegawai khas kepada bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Beliau berkata, hantaran berunsur sabotaj bermula pada 8.45 pagi semalam dan berakhir 11.44 malam, dengan sebanyak 21 hantaran dibuat dalam tempoh hampir 15 jam itu oleh salah seorang pentadbir.
“Hantaran tersebut jelas menonjolkan secara positif (kepada) Hamzah dan sebaliknya terhadap (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin,” katanya.
Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata parti berjaya menyingkirkan seorang pentadbir Facebook rasmi selepas beberapa hantaran ‘tidak sah’ dimuat naik susulan pemecatan 17 pemimpinnya termasuk Hamzah.
Tun Faisal berkata, parti mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memuat naik hantaran berkenaan.
Beliau turut memaklumkan laporan dibuat kepada Meta Platforms, syarikat induk Facebook, bagi pemulihan segera akses halaman rasmi parti, selain kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Jumaat lalu, beberapa pemimpin Bersatu dilaporkan dipecat parti termasuk Hamzah.
Susulan itu, laman Facebook rasmi parti memuat naik beberapa hantaran yang dilihat memperlekeh Muhyiddin, termasuk mempersoalkan ketiadaannya dalam gambar Hamzah bersama beberapa pemimpin PAS di Masjid Rusila, Terengganu, selain hantaran mendesak beliau meletak jawatan.
Laman itu turut memuat naik gambar Hamzah dengan tulisan ‘Solid 2/3 (sokongan) daripada bahagian’, berserta kapsyen ‘Reset. No fear, no regret’.