
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perbincangan itu juga akan melibatkan seluruh Ahli Parlimen daripada blok pembangkang.
“Isu ketua pembangkang akan dibincang dalam kalangan MP (ahli Parlimen) dan PN dalam masa terdekat,” katanya, menurut Utusan Malaysia.
Hamzah adalah antara 17 pemimpin Bersatu yang dipecat daripada parti kelmarin susulan kemelut kepimpinan antara beliau dan Presidennya Muhyiddin Yassin.
Selain Hamzah, Bersatu turut memecat 16 pemimpin termasuk tiga Ahli Parlimen iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, walaupun PAS mengambil pendirian untuk tidak mencampuri urusan dalaman komponen namun ada kebimbanganparti terhadap keutuhan PN di mana terasnya adalah antara PAS dan Bersatu.
Katanya, tindakan pemecatan beberapa tokoh utama sesebuah parti sudah tentu memberi kesan besar dan mengambil masa untuk dipulihkan.
“Kesalahan mereka adalah kerana mendesak Presiden mengundur diri.
“Mereka dipecat kerana kesalahan tersebut, kami simpati dengan apa yang berlaku,” katanya.