Elak guru PPKI tertekan, kesatuan gesa wujud sekolah khas

Elak guru PPKI tertekan, kesatuan gesa wujud sekolah khas

Fouzi Singon daripada NUTP dakwa ada ibu bapa bersikap lepas tangan dengan menyerahkan kepada guru untuk menguruskan anak istimewa mereka.

murid kelainan upaya oku istimewa ppki sekolah khas
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan harap Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 tekankan perkasa pendidikan khas dengan menyediakan sekolah khusus di luar aliran perdana. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa kerajaan menyediakan sekolah khas di luar aliran perdana bagi menangani kepadatan kelas dan tekanan emosi melampau dihadapi guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Setiausaha Agung NUTP, Fouzi Singon, berkata gesaan itu diharap dapat direalisasikan menerusi Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 yang menekankan usaha berkait pendidikan khas menerusi teras strategik empat.

Ia antara lain memperkasakan prasarana dan sokongan pembelajaran bagi pendidikan khas.

Fouzi berkata, ada keperluan mendesak untuk mengambil langkah itu memandangkan pelaksanaan dasar sifar penolakan atau ‘zero reject policy’ ketika ini didakwa mula menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Dakwanya, ada guru kini berdepan cabaran besar apabila segelintir ibu bapa bersikap ‘lepas tangan’ dan menyerahkan sepenuhnya urusan penjagaan anak kepada sekolah, walaupun sedar anak mereka berada dalam kategori akut dan kerap mengalami tantrum.

“Ada kes ibu bapa menyalahkan guru kerana mengasingkan anak mereka daripada rakan yang lain.

“Sudah sampai masa kerajaan menyediakan beberapa sekolah khas untuk mereka tanpa berada dalam kawasan sekolah biasa bagi menangani isu lebihan murid serta kepadatan kelas di sekolah tertentu,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Ikon Anak Istimewa Selangor (Anis), Nur Arif Jasmin, mendedahkan realiti pelaksanaan dasar sifar penolakan bermula 2019 dilihat ‘mendiskriminasi’ pendidik walaupun matlamatnya mengelakkan diskriminasi terhadap murid berkeperluan khas (MBK).

Katanya, ada guru terpaksa menguruskan antara 10 hingga 15 murid yang mempunyai pelbagai kategori ketidakupayaan seperti autisme, gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD) dan masalah pembelajaran secara serentak dalam satu kelas.

Beliau turut mencadangkan pusat intervensi mesra bajet diperluas bagi membantu murid masih agresif atau belum menguasai kemahiran asas pengurusan diri.

Sementara itu, pakar pendidikan Hasnah Toran berpendapat walaupun dasar sifar penolakan itu memberi kelegaan kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) tetapi ia akan terus mencetuskan ‘kekalutan’ di sekolah jika tidak disusuli tindakan sokongan yang drastik.

Katanya, infrastruktur dan sumber manusia untuk intervensi awal pada ketika ini masih belum dibangunkan secara komprehensif, menyebabkan ramai murid memasuki Tahun 1 tanpa persediaan asas.

“Kita tidak boleh nafikan guru Tahun 1 berdepan cabaran besar apabila menerima anak istimewa yang tidak pernah mengikuti intervensi awal, ditambah pula dengan ibu bapa yang ‘clueless’.

“Apabila ibu bapa mempunyai kemahiran mendidik anak istimewa dengan baik, anak-anak ini akan ke sekolah dalam keadaan lebih bersedia,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Justeru, Hasnah mencadangkan kerajaan mewujudkan Pelan Intervensi Awal Kebangsaan dengan sasaran 10 tahun bagi memastikan tiada anak istimewa tercicir daripada sistem sokongan.

“Misalnya di Amerika Syarikat melalui Individuals with Disabilities Education Act (Idea), yang mewajibkan kerajaan menyediakan perkhidmatan intervensi dalam tempoh 30 hari selepas diagnosis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.