Kerajaan komited sedia 200 zon rendah karbon menjelang 2030

Kerajaan komited sedia 200 zon rendah karbon menjelang 2030

Menteri Arthur Joseph Kurup menekankan kepentingan bandar dalam agenda itu kerana lebih 70% daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) global tertumpu di kawasan terbabit.

Arthur Joseph Kurup menyampaikan Anugerah Negeri Paling Aktif Terlibat Bandar Rendah Karbon kepada wakil dari kerajaan Selangor. (Gambar NRES)
PETALING JAYA:
Kerajaan menegaskan komitmen untuk menangani krisis iklim global dengan menetapkan sasaran strategik mewujudkan 200 zon rendah karbon di seluruh negara menjelang tahun 2030.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup menekankan kepentingan bandar dalam agenda ini kerana lebih 70% daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) global tertumpu di kawasan terbabit

Menurutnya, menerusi Malaysia’s Third Nationally Determined Contributions (NDC 3.0), Malaysia komited mengurangkan pelepasan GHG secara mutlak sebanyak 15 hingga 30 juta tan karbon dioksida setara menjelang tahun 2035.

“Daripada jumlah itu, pengurangan sebanyak 20 juta tan akan dilaksanakan melalui usaha domestik tanpa syarat, manakala baki 10 juta tan lagi tertakluk kepada sokongan antarabangsa dari segi pembiayaan dan pemindahan teknologi.

“Ini adalah isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius memainkan peranan sebagai rakan global yang bertanggungjawab,” katanya berucap di Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 di Kuala Lumpur.

Bagi mencapai sasaran itu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kini berada di peringkat akhir penggubalan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara .

Perundangan ini dijangka memperkukuh tadbir urus perubahan iklim serta memudah cara pelaksanaan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK).

DPKK bertujuan memacu ekosistem kredit karbon yang telus, membolehkan bandar dan syarikat memanfaatkan peluang ekonomi hijau sambil mengurangkan pelepasan karbon.

Berdasarkan data audit oleh Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), inisiatif bandar rendah karbon sepanjang 2025 telah membuahkan hasil dengan pengurangan pelepasan sebanyak 324,073.84 tan karbon dioksida setara.

Penyerapan karbon pula mencecah 80,837.06 tan, bersamaan secara simbolik dengan penanaman 10.12 juta batang pokok matang atau pengurangan 87,650 buah kereta setahun di jalan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.