Keputusan menteri nyah nikotin tak ambil kira pandangan Lembaga Racun, mahkamah diberitahu

Keputusan menteri nyah nikotin tak ambil kira pandangan Lembaga Racun, mahkamah diberitahu

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan dua lagi NGO berhujah keputusan menteri kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, menyalahi undang-undang.

vape
Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan dua pihak lain mahu Mahkamah Tinggi isytihar pengecualian nikotin cecair dan gel bagi kegunaan rokok elektronik dan peranti vape pada 2023, satu tindakan tidak rasional dan menyalahi undang-undang.
KUALA LUMPUR:
Peguam bagi kumpulan kesihatan awam memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa keputusan Dr Zaliha Mustafa ketika menjadi menteri kesihatan, dua tahun lalu, untuk meminda Senarai Racun bagi mengecualikan nikotin cecair adalah menyalahi undang-undang dan dibuat tanpa rundingan sewajarnya dengan Lembaga Racun.

K Shanmuga berhujah, keputusan Zaliha mengecualikan nikotin cecair daripada Akta Racun 1952 menyebabkan produk vape tidak dikawal selia secara berkesan dan boleh diakses secara sah oleh kanak-kanak selama hampir 17 bulan, sehingga Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dikuatkuasa pada 1 Okt 2024.

Shanmuga mewakili Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Persatuan Paru-paru Hijau Malaysia (MGLA), dan Voice of the Children dalam prosiding semakan kehakiman terhadap kerajaan.

“Apa yang dimaksudkan di sini adalah vape menjadi tidak terkawal dan secara berkesan boleh dijual secara sah kepada kanak-kanak,” katanya di hadapan Hakim Aliza Sulaiman.

Peguam itu juga membantah hujah Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan, bahawa permohonan itu sudah menjadi akademik, susulan pengenalan Akta 2024, yang kini mengawal selia produk merokok dan vape.

Nurhafizza berhujah, Seksyen 6 Akta Racun 1952 secara nyata memberikan kuasa kepada menteri untuk meminda Senarai Racun selepas berunding dengan Lembaga Racun, dan rundingan berkenaan telah berlangsung, pada 29 Mac 2023.

Dalam hujah balas, Shanmuga menegaskan kes tersebut kekal relevan meskipun dengan wujudnya Akta 2024, memandangkan mahkamah diminta menentukan sama ada menteri terkhilaf pada waktu material itu.

Beliau berkata, suatu deklarasi akan memenuhi kepentingan awam dan menjadi panduan bagi pelaksanaan kuasa menteri di bawah Akta Racun pada masa hadapan.

Peguam terbabit juga berhujah, walaupun Seksyen 6 membenarkan pindaan dibuat terhadap Senarai Racun, rundingan dengan Lembaga Racun mestilah bermakna dan bukan semata-mata formaliti.

“Lembaga Racun telah menyampaikan pendiriannya yang membantah nikotin dikecualikan. Namun, menteri tetap membuat perintah berkenaan.

“Anda tidak boleh bertemu dengan Lembaga Racun dan kemudiannya terus membuat keputusan tanpa mempertimbangkan pendirian lembaga tersebut,” katanya.

Pemohon meminta deklarasi bahawa pengecualian nikotin cecair dan gel untuk kegunaan rokok elektronik dan peranti vape di bawah Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 tidak rasional dan menyalahi undang-undang.

Mereka berhujah, pengecualian berkenaan dimasukkan tanpa rundingan sewajarnya atau mencukupi dengan Lembaga Racun, sekali gus menjadikannya ‘ultra vires’ dengan Seksyen 6 Akta Racun 1952.

Dalam hujahan lanjut, mereka berkata apabila Seksyen 6 membenarkan menteri meminda Senarai Racun tanpa pengawasan Parlimen, peruntukan tersebut bercanggah dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan justeru terbatal.

Mahkamah menetapkan 15 Mei untuk menyampaikan keputusan.

Pada 14 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan kebenaran kepada pemohon mencabar tindakan kerajaan mengeluar atau menyahklasifikasi nikotin cecair dan gel daripada Akta Racun 1952.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini ketua hakim negara) selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan kumpulan terbabit untuk meneruskan semakan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.