
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, cabaran terbuka itu bukan sekadar menunjukkan retorik sayap Umno berkenaan, sebaliknya mencerminkan keadaan gabungan yang masih ada perbezaan kurang penting.
“Bila seorang pemimpin muda menggesa MCA keluar BN, mesej sampai kepada rakyat ialah parti itu tidak lagi berfungsi sebagai blok politik stabil dan jejas hubungan baru hendak pulih.
“BN boleh dilihat sebagai gabungan kehilangan arah, tidak mampu menyatukan parti komponennya apatah lagi meyakinkan pengundi pelbagai kaum,” katanya kepada FMT.
Isnin lalu, Akmal mencabar Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng supaya mendesak partinya keluar BN selepas pemimpin itu mendakwa Pengerusi Zahid Hamidi sebagai ‘liabiliti terbesar’ gabungan.
Tan, ketua MCA Pulau Pinang mengkritik Zahid kerana menarik balik kenyataannya mengenai kewujudan ‘Team B’ dalam DAP, yang menurutnya menunjukkan presiden Umno tidak layak terus menerajui BN.
Minggu lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata tidak timbul soal parti itu meninggalkan BN ketika ini.
Sebelum ini, Wee berkata parti itu akan menilai semula kedudukannya dalam BN jika Umno bertegas meneruskan kerjasama dengan parti lain di luar gabungan khususnya DAP pada PRU akan datang.
MCA dan MIC didakwa sedang mempertimbang untuk keluar BN kerana merasakan mereka diketepikan Umno sejak pembentukan kerajaan perpaduan.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpandangan, perkembangan terbaru itu berpotensi memburukkan lagi keadaan, walaupun Zahid sudah berusaha memujuk MCA sebelum ini.
Katanya, gesaan Akmal boleh mewujudkan persepsi ada pemimpin tertentu Umno tidak lagi memerlukan MCA untuk menang pilihan raya.
“Mungkin betul MCA kurang pengaruh sekarang tetapi dengan mengancam MCA, gabungan itu (BN) akan dilihat membawa naratif Melayu diperjuangkan Akmal dalam Umno.
“Berbanding sebagai gabungan berbilang etnik, ini mungkin melemahkan BN dari segi sokongan dan keyakinan pengundi,” katanya.