Anak syarikat Kumpulan Sedco gagal untung berdepan MBO atau tutup

Anak syarikat Kumpulan Sedco gagal untung berdepan MBO atau tutup

Reformasi signifikan harus dilakukan terhadap urus tadbir anak syarikat kurang daya saing, kata Masiung Banah.

Masiung Banah pada Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco di Kota Kinabalu semalam.
PETALING JAYA:
Operasi anak syarikat di bawah Kumpulan Sedco yang gagal mencapai keuntungan dalam tempoh setahun akan melalui proses ‘management buyout’ (MBO) atau ditutup, menurut pengerusinya, Masiung Banah.

Masiung berkata, reformasi signifikan harus dilakukan terhadap urus tadbir anak syarikat yang kurang berdaya saing dalam industri yang diceburi.

“Jika kita pertahankan syarikat yang rugi dan membebankan agensi induk, umpama kita bermain bola ‘ (sepak) gol sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan Sedco di Kota Kinabalu semalam, yang turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar Azrul Ahmad.

“Kita mahu lihat prestasi mereka, sama ada sasaran tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai kenapa? (Harus) dipertingkatkan.”

Beliau menegaskan syarikat yang gagal mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) harus mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangan semasa.

Dalam pada itu, Masiung bersama pengurusan tertinggi Sedco kini sedang dalam proses menilai keberkesanan gerak kerja ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat korporat di bawah Kumpulan Sedco.

“Walaupun setakat ini belum ada laporan serius tentang salah laku korporat dalam struktur melibatkan anak-anak syarikat, namun operasi mereka harus dipantau setiap tiga bulan.

“Saya bukan sahaja beri arahan, tetapi saya akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa bagi memantau operasi anak-anak syarikat ini,” kata Masiung, yang juga Adun Kuamut.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 23 anak syarikat yang beroperasi dalam pelbagai industri bernaung di bawah Kumpulan Sedco.

Katanya, tiga syarikat akan menjadi tumpuan utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri, iaitu Sedco Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Economy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.