
Anak anak syarikat berkenaan — Malaysia LNG Sdn Bhd; Malaysia LNG Dua Sdn Bhd; Malaysia LNG Tiga Sdn Bhd; Petronas Carigali Sdn Bhd; dan Petronas LNG 9 Sdn Bhd — menuntut semakan kehakiman terhadap penalti RM120 juta, lapor Borneo Post.
Syarikat berkenaan didenda kerana didakwa gagal memohon lapan lesen untuk beroperasi di Sarawak, sebagaimana ditetapkan Ordinan Pengedaran Gas 2016.
Pesuruhjaya Kehakiman Dean Wayne Daly memutuskan kelima pemohon mempunyai asas kes dan permohonan mereka bukanlah sesuatu yang remeh atau menyusahkan.
Beliau menetapkan 2 Mac bagi pengurusan kes, dan memerintahkan pihak pemohon mengemukakan hujahan.
Lima anak syarikat itu diwakili peguam Khoo Guan Huat dan Alex Ngu, manakala Penasihat Undang-undang Sarawak, JC Fong dan Peguam Kanan Negeri, Adzrul Adzlan daripada Jabatan Peguam Besar Negeri mewakili pihak responden.
Fong kemudiannya berhujah, pihak responden tidak berhasrat mengemukakan rayuan memandangkan mahkamah tidak membenarkan penangguhan prosiding bagi menguatkuasakan penalti RM120 juta dikenakan ke atas lima syarikat tersebut.
Bulan lalu, Khoo dan Ngu berhujah Ordinan Pengedaran Gas 2016 tidak terpakai ke atas operasi anak-anak syarikat itu, dan penalti kewangan berkenaan adalah melampaui kuasa ordinan tersebut.
Mereka turut berhujah, badan perundangan negeri Sarawak telah melampaui kuasa diberikan di bawah Perintah Negeri-negeri Borneo (Kuasa Perundangan) 1963 dengan mewajibkan lesen bagi rawatan, pemprosesan, pengasingan, dan pengangkutan gas, serta pembinaan dan penyelenggaraan saluran paip gas.