Matriks Pembelajaran Malaysia ukur pencapaian Tahun 4, Tingkatan 3

Matriks Pembelajaran Malaysia ukur pencapaian Tahun 4, Tingkatan 3

Ujian itu akan dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia bermula tahun ini dan 2027.

upsr
Ujian matrik Tahun 4 merangkumi empat subjek iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sains dan matematik. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan melaksanakan pengukuran pembelajaran Tahun 4 mulai tahun ini bagi empat mata pelajaran utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sains.

Selain itu, turut diumumkan pengukuran pembelajaran Tingkatan 3 bagi lima mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains dan sejarah bermula 2027.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata ujian itu akan dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia.

“Nama lain bagi pengukuran ini adalah Matriks Pembelajaran Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, dalam sidang media meminta ibu bapa dan guru tidak perlu panik dengan pelaksanaan matriks pembelajaran bermula Tahun 4 kerana ia bukan sistem peperiksaan berisiko tinggi yang memberi tekanan kepada murid.

Beliau berkata, matriks pembelajaran adalah kaedah penilaian lebih luas dan holistik, bertujuan mengukur perkembangan pembelajaran murid serta membolehkan intervensi awal dilakukan jika terdapat kelemahan.

Katanya, pemilihan Tahun 4 adalah strategik kerana kementerian masih mempunyai tempoh dua tahun sebelum murid melangkah ke sekolah menengah bagi melaksanakan intervensi dan pengukuhan.

“Matriks pembelajaran ini mesti mendukung (anak-anak), bukan semata-mata sistem peperiksaan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan matriks pembelajaran akan dilaksanakan Lembaga Peperiksaan bagi memastikan keyakinan awam terhadap penilaian tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan matriks pembelajaran bagi murid Tahun 4 akan bermula Oktober ini bagi membolehkan keputusan dan penilaian diselesaikan sebelum cuti sekolah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.