PTPTN pastikan inisiatif pendidikan percuma sampai kepada golongan sasar

PTPTN pastikan inisiatif pendidikan percuma sampai kepada golongan sasar

Peningkatan hampir dua kali ganda penerima manfaat diyakini mampu beri peluang pendidikan kepada anak keluarga miskin tegar melanjutkan pengajian.

ptptn
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif.
KUALA LUMPUR:
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan inisiatif biasiswa/pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar miskin tegar bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dilaksana secara berkesan dan menyeluruh kepada golongan sasar.

Pengerusinya Norliza Abdul Rahim berkata, peningkatan hampir dua kali ganda bilangan penerima manfaat itu diyakini mampu memberi peluang pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga miskin tegar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Langkah ini, sekali gus memutuskan rantaian kemiskinan melalui pendidikan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengumuman inisiatif itu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melancarkan RPTM mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif, saksama dan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan miskin tegar.

Anwar dalam ucapannya ketika pelancaran RPTM Selasa lalu mengumumkan inisiatif pendidikan percuma PTPTN ditingkatkan kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin tegar dalam data eKasih, berbanding 5,800 bawah Belanjawan 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.