10 ajaran sesat masih aktif di Malaysia

10 ajaran sesat masih aktif di Malaysia

Ajaran sesat bergerak secara fleksibel ikut kawasan dianggap 'selamat', bukan terhad negeri tertentu, kata Jakim.

Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan SKMM bagi memantau penyebaran fahaman menyimpang di media sosial dan Internet. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepuluh kumpulan ajaran sesat dikesan masih bergerak aktif di negara ini, menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim Sirajuddin Suhaimee berkata, ajaran sesat tersebut bergerak secara fleksibel mengikut kawasan yang dianggap selamat untuk mendapatkan pengikut, bukan tertumpu kepada negeri tertentu.

Ada antaranya turut beroperasi di luar negara, tambahnya.

“Dulu ajaran sesat ini kita boleh nampak. Tetapi sekarang ia datang dengan modul ataupun program motivasi,” katanya pada sesi taklimat khas bersama media di Putrajaya, lapor Bernama.

Sirajuddin berkata, antara cabaran utama dalam menangani ajaran sesat ialah aspek pendakwaan, berikutan pengamal ajaran terbabit sering mengamalkan fahaman mereka secara sulit, menyukarkan pembuktian dari sudut perundangan.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Jakim menekankan pendekatan pendidikan dan pencegahan dengan memperluas sebaran maklumat kepada masyarakat mengenai ciri, amalan dan fahaman ajaran sesat.

Usaha ini dilakukan supaya orang ramai dapat membezakan penyelewengan daripada ajaran Islam yang sebenar, tambahnya.

“Bukan sekadar nama kumpulan, tetapi amalan dan fahaman mereka perlu diketengahkan supaya masyarakat faham dan tidak terjebak,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, pendekatan tegas semata-mata tidak mencukupi untuk mengatasi masalah itu, sebaliknya usaha mendekati masyarakat secara harmoni dan memberi kefahaman lebih berkesan dalam jangka panjang.

“Apabila masyarakat faham bahawa sesuatu amalan itu salah, mereka akan menjauhinya. Kita bukan hanya melarang, tetapi memberi alternatif dan bimbingan,” katanya.

Dalam pada itu, Sirajuddin berkata, Jakim turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memantau penyebaran fahaman menyimpang di media sosial dan Internet.

“Tidak semestinya maklumat di hujung jari itu benar. Masyarakat perlu berhati-hati dan merujuk kepada pihak berautoriti seperti Jakim atau pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.