Keluarga Altantuya pulangkan wang ganti rugi kepada kerajaan

Keluarga Altantuya pulangkan wang ganti rugi kepada kerajaan

Peguam keluarga itu, Sangeet Kaur Deo berkata bayaran balik itu dibuat semalam.

Sangeet Kaur Deo
Peguam Sangeet Kaur Deo berkata bayaran balik penuh ganti rugi bersama faedah itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Rayuan bulan lalu.
PETALING JAYA:
Keluarga Altantuya Shaariibuu memulangkan sepenuhnya ganti rugi dan kos yang sebelum ini diberikan, susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti atas kematian warga Mongolia itu hampir 20 tahun lalu.

Peguam keluarga itu, Sangeet Kaur Deo, berkata keseluruhan jumlah tersebut tidak disentuh dan kekal dalam akaun pemegang amanah firma guamannya sejak diterima, selaras dengan perintah mahkamah.

“Keseluruhan jumlah yang dibayar sebelum ini di bawah perintah penangguhan bersyarat Mahkamah Tinggi Shah Alam, termasuk jumlah penghakiman dan semua faedah terkumpul, telah dipulangkan sepenuhnya kepada kerajaan semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sangeet turut memaklumkan bahawa prosedur yang sama turut terpakai kepada bekas kekasih Altantuya, Abdul Razak Baginda, dengan bayaran balik dibuat selaras dengan potongan yang diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan.

Bulan lalu, FMT melaporkan melaporkan bahawa keluarga Altantuya perlu memulangkan RM4.7 juta kepada kerajaan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepaskan kerajaan daripada liabiliti atas kematian wanita itu.

Razak pula dijangka menerima bayaran balik selepas ditolak RM1.38 juta ganti rugi yang diberikan oleh mahkamah.

Bayaran balik itu adalah berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu yang mengarahkan kerajaan dan Razak masing-masing membayar RM4.7 juta (jumlah keseluruhan RM9.4 juta) sebagai ganti rugi dan mendepositkan wang tersebut sehingga rayuan mereka diputuskan.

Perintah pada 2025 itu, yang dilihat oleh FMT, menyatakan bahawa jika rayuan kerajaan dibenarkan, wang itu mesti dipulangkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penghakiman Mahkamah Rayuan. Ia juga mengarahkan supaya kos RM25,000 yang dikenakan ke atas kerajaan dipulangkan.

Pada 20 Jan, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kerajaan tidak bertanggungjawab secara vikarius terhadap tindakan bekas anggota polis Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri, atas alasan bahawa mereka tidak menjalankan tugas rasmi ketika pembunuhan itu berlaku.

Bagaimanapun, mahkamah rayuan mengekalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Razak bertanggungjawab atas kematian Altantuya, bersama-sama dua bekas anggota polis tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.