
Berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata tanpa beban tugas di peringkat kerajaan negeri, beliau boleh memberi tumpuan penuh untuk memperkukuh parti dan menggerakkan jentera menghadapi PRU16.
“Saya nak bagi tahu, bila Akmal letak jawatan exco, saya boleh bagi jaminan saya akan hasilkan lebih 300,000 ‘Akmal Saleh’ untuk bantai anda,” katanya disambut sorakan perwakilan.
Beliau berkata, keputusan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya bagi memastikan Pemuda Umno benar-benar bersedia menghadapi PRU16.
“Kena sedia untuk pilihan raya umum, insya-Allah Umno akan kembali jadi dominan di tanah air,” katanya.
Terdahulu, pada ucapan dasar sebelah pagi, Akmal mengumumkan peletakan jawatan sebagai exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan Melaka berkuat kuasa minggu depan dengan alasan mahu memberi tumpuan untuk ‘melawan DAP’.
Bagaimanapun, Akmal menegaskan beliau tetap menghormati keputusan parti untuk kekal bersama DAP dalam kerajaan perpaduan, walaupun sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangannya terhadap kerjasama itu.
“Saya tak bercakap besar tanpa ambil kira nasib ahli Pemuda. Ini tentang persediaan jangka panjang parti,” katanya.
Kenyataan balas Akmal menyusul selepas seorang pemimpin Umno berpandangan tidak wujud keperluan untuk Adun Merlimau itu melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri semata-mata untuk menentang DAP.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata melawan DAP tidak memerlukan komitmen sepenuh masa sehingga terpaksa mengorbankan jawatan exco.
“Tiada keperluan bagi Akmal melepaskan sebarang jawatan semata-mata untuk melawan DAP,” katanya.
Menurut Puad, perjuangan politik boleh diteruskan tanpa menjejaskan tanggungjawab dalam kerajaan, malah kedudukan dalam pentadbiran boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh parti.