
Menerusi hantaran di aplikasi X, Nga berkata Umno bertanding 119 kerusi pada PRU15 dan menang 26 Parlimen, tidak tewas kepada DAP.
“Maka, Umno kalah 93 kerusi itu kepada siapa?
“Cuba teka jawapan dan anda akan faham siapa musuh sebenar Umno,” katanya yang turut menyertakan laporan media berhubung kekecewaan perwakilan Umno dari Terengganu terhadap PAS sepanjang kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN).
FMT melaporkan Nurhisam Johari berkata Umno Terengganu menderita dengan pelbagai helah PAS dan disisihkan atas pelbagai alasan.
“Seperti di negeri-negeri yang ada DAP dan mereka kecewa dengan pelbagai gelagat songsang DAP, kami di Terengganu lebih kecewa dengan sikap dan perangai PAS,” katanya pada perbahasan PAU yang berakhir semalam.
PAU2025 turut menyaksikan serangan berterusan segelintir pemimpin Umno terhadap DAP dan mempersoalkan kerjasama menerusi kerajaan perpaduan sejak Disember 2022.
Antaranya, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang kerap menggambarkan DAP sebagai musuh utama parti Melayu itu.
Akmal dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda mengumumkan peletakan jawatan exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan Melaka untuk melawan DAP habis-habisan.
Beliau turut berikrar ‘melahirkan 300,000 Akmal’ bagi berdepan pihak yang mengkritiknya termasuk DAP.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno, 3 Jan lalu, Akmal menggesa Umno keluar kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang.
Namun Presiden Zahid Hamidi menegaskan parti itu kekal dalam pentadbiran Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal.