Tak tolak kerjasama tapi antikhianat, Zahid mahu jamin Umno selamat

Tak tolak kerjasama tapi antikhianat, Zahid mahu jamin Umno selamat

Presiden Umno Zahid Hamidi bimbang pihak-pihak dengan kepentingan tersendiri tunggang sentimen penyatuan Melayu.

PAU umno
Zahid Hamidi menegaskan Umno enggan dipatuk kali kedua dalam kerjasama dengan pihak memecahbelahkan perpaduan parti itu sebelum ini.
PETALING JAYA:
Kelangsungan dan kepentingan Umno harus terpelihara apabila mempertimbangkan kerjasama dengan parti lain terutama yang bersaing atau berseteru dengannya, tegas Presiden Zahid Hamidi berhubung prospek ‘payung besar’.

Barangkali ketegasan itu yang menyebabkan Zahid kelihatan seolah menolak penyatuan parti Melayu, namun congakan beliau berakar pada kelangsungan Umno.

“Nak bekerjasama dengan mereka, terutamanya parti yang pernah bersama kita beberapa tahun dahulu, bukanlah semudah yang disangka. Kami tak mahu dipatuk ular buat kali kedua di tempat yang sama. Once bitten, twice shy!” katanya dalam temu bual FMT.

Di sebalik kehangatan perhimpunan agung tahun ini, ketika ketua Pemudanya sendiri menyatakan hasrat agar Umno dan PAS dapat bersatu ‘demi penyatuan orang Melayu’, Zahid kelihatan bimbang sentimen demikian ditunggang oleh pihak-pihak dengan kepentingan tersendiri.

Antara persoalan yang beliau bangkitkan adalah bentuk kerjasama itu dan individu yang mengusahakan ‘payung besar’ ini.

“Payung besar yang macam mana? Sedangkan payung yang mereka buat sebelum ini pun boleh koyak disebabkan sifat tamak haloba dalam politik,” kata Zahid.

“Siapa pula yang menganjurkan payung besar ini? Tidak lain dan tidak bukan orang yang memecahbelahkan Melayu dengan menubuhkan dua tiga parti lain, hanya kerana dia tidak lagi berkuasa di dalam Umno.”

“Ada yang bekas pemimpin Umno sendiri mahu berlagak sebagai penyatu bangsa sedangkan mereka sendiri pun tak pernah ada pendirian kukuh dalam politik berparti.”

Pada 4 Jun tahun lalu, bekas presiden Umno dan pengasas Bersatu, Dr Mahathir Mohamad mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’, dengan tujuan antara lain untuk membolehkan orang Melayu kembali menguasai kerajaan.

Bagaimanapun, logik kerjasama antara Umno dengan PAS atau Bersatu dipersoalkan penganalisis sejak tiga tahun lalu, ketika PAS menguar-uarkan agenda penyatuan ummah menuju PRU 2022.

Zahid ketika itu berkata Umno perlu bergerak solo pada PRU15 memandangkan PAS menawarkan kerjasama ‘dangkal’ dan menjalin hubungan dengan Bersatu, yang menurutnya secara jelas mahu menghancurkan Umno dari luar dan dalam.

Penganalisis seperti Azmi Hassan pula berkata ‘agak ganjil’ sekiranya PAS tidak menyebelahi mana-mana apabila berlaku pertembungan antara Umno dan Bersatu.

Kebimbangan Zahid itu bagaimanapun tidak diendahkan pengkritik, malah Presiden PAS Hadi Awang mengatakan kenyataan presiden Umno itu tidak mewakili keseluruhan suara parti.

Ditanya apakah yang membezakan Umno dengan PAS dan Bersatu, Zahid berkata Umno menawarkan politik yang berbeza.

“Kerja mereka ialah melaga-lagakan orang. Umno tidak begitu. Kami menyatukan rakyat atas paksi bekerjasama dalam segala bidang yang dapat meningkat sahsiah serta iktisad mereka dan negara.

“Kita bergerak seiring, tanpa prejudis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.