
Dalam hantaran tanpa menyebut mana-mana nama, Afnan menggunakan analogi sebuah pasukan bola sepak bagi menggambarkan situasi politik semasa.
Beliau mengumpamakan seorang penjaga gol yang meletakkan jawatan, sebelum jurulatih memanggil pasukan untuk berbincang bagi melantik penjaga gol baharu.
“Namun tiba-tiba penjaga gol yang letak jawatan minta tiang gol dimansuhkan. Kata dia, tak perlu ada gol, maka tak perlu ada keeper. Tak perlu bincang,” tulis Ahli Parlimen Alor Setar itu.
Afnan turut menyatakan jika demikian keadaannya, lebih baik padang bola diturap dengan simen, dipasang bumbung dan dijadikan dewan kenduri, kerana permainan itu sendiri sudah tidak lagi relevan.
“Tak perlu ada padang. Zaman sekarang makan kawan lagi sedap daripada makan kenduri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar lebih terbuka mengkritik Muhyiddin, mengingatkan bekas pengerusi PN itu bahawa masanya memimpin gabungan itu ‘sudah tamat’.
“Letak jawatan pengerusi PN, tiba-tiba nak ketuai Majlis Presiden. Masalah tetap tak selesai.
“Masa kamu sudah tamat!” katanya dalam hantaran di Facebook.
Hantaran-hantaran ini dibuat ketika surat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kepada empat presiden parti komponen dalam PN tersebar berkait kemelut pelantikan pengerusi PN yang kosong sejak 1 Jan lalu.
Antara isi kandungan surat bertarikh 27 Jan itu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu.
Menurutnya, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, yang akan menjadi badan tertinggi dalam membuat keputusan berkaitan dasar gabungan.
PAS pula akan mengetuai jawatankuasa eksekutif yang bertanggungjawab menguruskan aspek pentadbiran, tambahnya.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan perkara itu.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk membincangkan isu ini, yang sepatutnya diadakan esok malam, telah dibatalkan.
Sebaliknya diumumkan Muhyiddin akan bertemu dengan presiden parti komponen PN, iaitu Hadi Awang (PAS), Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP), di kediamannya.