Remaja didakwa membunuh rakan sekolah layak dibicara

Remaja didakwa membunuh rakan sekolah layak dibicara

Keputusan mahkamah itu susulan penilaian psikiatri ke atas remaja berusia 15 tahun terbabit di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

3 kes tikam SMK Bandar Utama Damansara (4)
Remaja itu didakwa membunuh rakan sekolahnya yang berumur 16 tahun dengan menikamnya di tandas perempuan SMK Bandar Utama Damansara (4) pada 14 Oktober tahun lalu.
PETALING JAYA:
Remaja lelaki yang didakwa membunuh rakan sekolahnya di SMK Bandar Utama Damansara (4) diisytiharkan layak dibicara dan mampu membela diri selepas menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Peguam tertuduh, Kitson Foong, memberitahu pemberita mengenai perkembangan itu selepas sebutan kes di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal hari ini.

“Laporan (psikiatri) telah siap dan kedua-dua mahkamah serta pakar psikiatri mendapati tertuduh mampu membela diri,” katanya.

Amira menetapkan 6 Februari untuk sebutan kes seterusnya.

Foong berkata tertuduh ditahan di Pusat Koreksional Puncak Alam, di mana mahkamah memerintahkan semua ubat yang ditetapkan diberikan setiap hari pada waktu tertentu, dan rawatan perlu diteruskan tanpa gangguan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh meneruskan sesi kaunseling dan terapi bulanan.

Remaja itu didakwa membunuh rakan sekolahnya yang berumur 16 tahun dengan menikamnya di tandas perempuan sekolah antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa atas kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Timbalan pendakwa raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman mewakili pihak pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.