12 penyokong Selangor FC didakwa miliki, ambil dadah

12 penyokong Selangor FC didakwa miliki, ambil dadah

Semua mereka mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

selangor fc drawbridge terengganu
Semua 12 penyokong Selangor FC didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas kesalahan dadah selepas ditahan kerana menganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Ahad.
PETALING JAYA:
Seramai 12 penyokong pasukan bola sepak Selangor (Selangor FC) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas tuduhan memiliki dan menyalahgunakan dadah pada Ahad lalu.

Tertuduhan pertama Amirul Izham Anuwa, 26, didakwa memiliki dadah disyaki kanabis seberat 1.12g dan nimetazipam seberat 0.37g di pekarangan IPD Kuala Terengganu, kira-kira 9.30 malam, 2 Feb lalu, lapor Sinar Harian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

Amirul bersama lima lagi tertuduh iaitu Adam Hakimi Misra, 20; Asyraaf Syazwan Azman, 25; Akmal Haqim Amir Hamzah, 25; Alif Aiman Abdullah, 26 dan Akmal Hakim Abd Aziz, 29, turut didakwa memasukkan dadah disyaki tetrahydrocannabinol di dalam badan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 38B(1) ADB 1952.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun dan pengawasan polis (PS) tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak kemudian membenarkan Amirul diikat jamin RM5,000 dan lima lagi tertuduh RM2,000 sereta menetapkan sebutan semula kes pada 4, 5 dan 6 Feb tahun depan bagi menunggu keputusan kimia.

Di Mahkamah Majistret berasingan, lima tertuduh Shafirul Hisham Hassan, 26; Ahmad Ziyad Zulkifli, 26; Syafiq Junaedi, 27; Afiq Haikal Gunawan, 27 dan Ahmad Naqiuddin Ahmad Nordzri, 29, didakwa memasukkan dadah disyaki tetrahydrocannabinol di dalam badan.

Seorang lagi tertuduh Asyraf Azli, 25, pula didakwa memasukkan dadah disyaki Methamphetamine ke dalam badan di lokasi dan masa yang sama serta didakwa mengikut seksyen yang sama.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM2,500 dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 30 April depan.

Pendakwa kes itu dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Anith Nabilah Rusli dan Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala tertuduh diwakili peguam Nur Wahidah Kamilah Razali.

Isnin lalu, Seramai 33 penyokong pasukan bola sepak Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini untuk mendapatkan perintah reman susulan insiden mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran, pada petang Ahad.

Mereka dipercayai melakukan perbuatan itu di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu kira-kira 6.30 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.