
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dilantik pengarah komunikasi, manakala Setiausaha Agung Pakatan Harapan dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail terus menerajui PKR Kedah.
Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Menteri Belia dan Sukan, Taufiq Johari dilantik timbalannya.
Setiausaha politik Anwar, Chan Ming Kai pula sebagai naib pengerusi, bersama S Chandar, Ismail Wasi Ahmad Shafawi, Fitri Ismail dan Marduwati Mazlan.
Firdaus Johari dilantik pengarah strategi. Taufiq dan Firdaus ialah anak Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail mengetuai Biro Kesihatan, manakala bekas Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dilantik ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN).
Nashrul dalam kenyataan berkata, penstrukturan semula itu antara perkara dibincangkan dalam mesyuarat MPN semalam yang turut memfokuskan perancangan gerak kerja strategik bagi menawan semula kerusi Parlimen dan DUN Kedah.
Ia termasuk pengukuhan jentera pilihan raya, pemantapan agenda kebajikan rakyat serta pendekatan politik matang, berprinsip dan berpaksikan kepentingan awam.
“Turut ditekankan keperluan menonjolkan kejayaan dan inisiatif kerajaan memberikan manfaat langsung kepada rakyat Kedah dari aspek ekonomi, kebajikan, pendidikan, infrastruktur serta kesejahteraan sosial supaya peranan dan sumbangan Putrajaya dapat difahami lebih jelas.”
Menurutnya, PKR Kedah komited memainkan peranan pembangkang bertanggungjawab di DUN melalui semak dan imbang yang konstruktif, berfakta serta berteraskan kepentingan rakyat bagi memastikan tadbir urus negeri telus dan berintegriti.
Katanya, PKR Kedah juga akan menggunakan pendekatan lebih tersusun dan berkesan bagi memastikan ia kekal relevan sebagai wadah perjuangan rakyat, selaras aspirasi reformasi dan tuntutan semasa masyarakat.