Pembakaran karikatur PM ingatan harapan rakyat banteras rasuah, kata PMO

Pembakaran karikatur PM ingatan harapan rakyat banteras rasuah, kata PMO

Tunku Nashrul Abaidah berkata kerajaan kekal teguh laksana komitmen reformasi.

Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar Ibrahim sebagai bekas mahasiswa dan seorang reformis sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.
PETALING JAYA:
Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyifatkan tindakan peserta perhimpunan di Sabah membakar karikatur Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Sabtu lalu sebagai gambaran harapan rakyat untuk membanteras rasuah sehingga akar umbi.

Setiausaha akhbar kanan perdana menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Anwar sebagai bekas mahasiswa dan seorang reformis sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Insiden pembakaran karikatur perdana menteri di Kota Kinabalu baru-baru ini mengingatkan kita betapa besar harapan rakyat agar rasuah dibanteras sampai ke akar umbi.

“Perdana menteri sendiri muncul daripada gerakan mahasiswa dan pernah memimpin gerakan reformasi di jalanan, maka beliau benar-benar memahami suara itu; beliau sendiri saksi bahawa kritikan, walau sepedas mana, adalah sebahagian penting dalam meraikan demokrasi,” katanya dalam taklimat harian PMO.

Lebih 100 peserta menyertai perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 anjuran segelintir pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu.

Perhimpunan itu diadakan bagi menggesa tindakan diambil terhadap Jabatan Air Sabah, tetapi ia berakhir dengan pembakaran karikatur Anwar.

Anwar bagaimanapun meminta pelajar yang membuat kesilapan terbabit tidak dibuang universiti, sebaliknya masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting serta diutamakan.

Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata komitmen reformasi oleh kerajaan kekal teguh yang sedang diterjemahkan dalam tindakan nyata.

“Komitmen reformasi ini tidak akan terhenti setakat ini, dan ia akan terus diperhalusi dan dilaksanakan dengan berstruktur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.