Kurangkan pekerja, kesatuan gesa Petronas pastikan adil

Kurangkan pekerja, kesatuan gesa Petronas pastikan adil

Kesatuan pekerja Petronas cawangan Sarawak sokong usaha pemahiran semula dan pampasan yang saksama bagi mereka yang terjejas.

Petronas jangka mengecilkan tenaga kerjanya dengan memberhentikan lebih 5,000 orang dan beku pengambilan pekerja sehingga Disember 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan pekerja Petronas menggesa syarikat minyak nasional itu memastikan ketelusan dan keadilan dalam langkah mengurangkan 10% tenaga kerjanya dalam proses penstrukturan semula seluruh syarikat.

Cawangan Sarawak kesatuan itu berkata, pemberhentian itu sudah tentu akan menjejaskan mata pencarian pekerja, terutama yang ditempatkan di Bintulu dan Miri, memandangkan kos sara hidup semakin meningkat, khususnya di kedua-dua kawasan itu.

“Tenaga kerja industri minyak dan gas berdepan persekitaran yang mencabar, dengan waktu kerja yang panjang, penempatan di lokasi terpencil dan ketidakstabilan pekerjaan,” kata kesatuan itu dalam kenyataan, lapor Dayak Daily.

“Kebimbangan mengenai ketidaksamaan gaji antara kakitangan tempatan dengan antarabangsa, ditambah pula dengan kos sara hidup yang meningkat, menambah tambah membebankan kewangan dan emosi para pekerja.”

Kesatuan itu berkata, pihaknya akan berusaha melindungi hak dan kebajikan lebih 2,000 pekerja yang diwakilinya, dengan menyokong pemahiran semula dan pampasan yang saksama untuk pekerja yang terjejas.

Pada Khamis, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Aziz berkata, penstrukturan semula itu bertujuan mengurangkan kos berikutan kejatuhan harga minyak mentah.

Beliau berkata, Petronas menjangkakan mengurangkan bilangan pekerjanya sebanyak lebih 5,000 orang dan membekukan pengambilan pekerja sehingga Disember 2026.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof kemudiannya berkata, penstrukturan semula Petronas adalah disebabkan cabaran global, bukan berkait pertikaiannya dengan agregator gas milik kerajaan Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.