Autonomi demi parti, bukan rosak perpaduan, kata pemimpin Umno Kedah

Autonomi demi parti, bukan rosak perpaduan, kata pemimpin Umno Kedah

Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata gesaannya itu dibuat untuk menyelamatkan kekuatan dan maruah parti.

Baru-baru ini, Shaiful Hazizy Zainol Abidin menggesa Umno Kedah diberi autonomi dalam menentukan hala tuju sendiri termasuk tanding solo.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Kedah menegaskan tindakannya meminta autonomi dari pimpinan pusat bukan untuk merosakkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata gesaannya itu yang antaranya bagi membolehkan Umno Kedah bergerak solo dibuat untuk menyelamatkan kekuatan dan maruah parti.

Shaiful Hazizy Zainol Abidin.
Shaiful Hazizy Zainol Abidin.

Pada masa sama, Hazizy juga menggesa PKR tidak menafikan realiti semasa di lapangan yang menunjukkan belum ada ‘penyelarasan sebenar’ di antara PH dan Barisan Nasional (BN).

“Azrina Surip seharusnya mengemukakan persoalan ini kepada kepimpinan tertinggi partinya sendiri khususnya Saifuddin Nasution (ketua PKR Kedah).

“Hampir memasuki tahun ketiga kerajaan perpaduan, apakah bentuk penyelarasan sebenar yang telah dilaksanakan di Kedah?

“Di mana gerak kerja politik bersama yang berfungsi? Dan sejauh mana keputusan mesyuarat diterjemahkan kepada tindakan konkrit di peringkat akar umbi?,” katanya kepada FMT.

“Jika semuanya berjalan lancar seperti didakwa, keresahan dalam kalangan akar umbi Umno tidak akan wujud,” katanya mengulas kenyataan Azrina.

Semalam, FMT melaporkan penafian ahli majlis pimpinan PKR Kedah itu yang Umno diketepikan dan dihadkan peranan dalam sekretariat perpaduan negeri lalu.

Beliau turut menepis dakwaan Shaiful Hazizy yang kerjasama BN dengan PH seolah-olah tidak wujud dan ada usaha untuk melemahkan Umno secara halus.

Pada PRN 2023, kerjasama BN dan PH hanya menang tiga kerusi dengan dua DUN dimenangi PKR (Bakar Arang dan Sidam) manakala satu DAP (Kota Darul Aman).

Perikatan Nasional (PN) yang diketuai PAS pula menang 33 kerusi, menyaksikan Sanusi Nor meneruskan tugas sebagai menteri besar untuk penggal kedua.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.