MIC masih bersama BN, dakwaan keluar hanya spekulasi, kata Zambry

MIC masih bersama BN, dakwaan keluar hanya spekulasi, kata Zambry

Setiausaha agung Barisan Nasional berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi kononnya MIC akan meninggalkan gabungan itu.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Zambry Kadir berkata tidak ada isu yang berbangkit berkaitan MIC dibincangkan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
MIC masih merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung BN Zambry Kadir.

Beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang makluman rasmi kononnya MIC akan meninggalkan BN, malah hubungan antara kepimpinan tertinggi parti komponen kekal utuh dan baik.

“Saya yakin MIC masih tetap bersama BN sehingga kini. Kita tidak ada isu yang berbangkit berkaitan masalah itu dan tidak dibincangkan pun (dalam mesyuarat).

“Setakat ini kita tidak menerima apa-apa, sebarang laporan yang mengatakan mereka keluar ataupun tidak, kita tidak mengambil itu sebagai sumber sahih,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan turut dihadiri Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup serta Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon.

Mengulas mengenai ketidakhadiran wakil MIC pada mesyuarat itu, Zambry berkata ia disebabkan faktor kekangan masa.

“BN sentiasa bersangka baik, kita bekerjasama dan mungkin ada spekulasi-spekulasi yang dibuat, itu kita anggap hanya sebagai satu spekulasi,” katanya.

Zambry berkata mesyuarat Dewan Tertinggi BN turut membuat keputusan menerima semula penyertaan Parti Progresif Penduduk (PPP) ke dalam gabungan tersebut.

Beliau berkata mesyuarat itu juga memutuskan pelantikan Arthur sebagai pengerusi BN Sabah yang baharu manakala Jafry Ariffin sebagai timbalan pengerusi BN Sabah dan Mohd Hasnol Ayub dilantik sebagai setiausaha BN negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.