
Ketuanya Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, penglibatan wanita tidak boleh terus kekal sebagai slogan, sebaliknya perlu dibuktikan melalui peranan dan tanggungjawab yang bermakna dalam parti.
“30% penglibatan wanita ini mesti diterjemahkan kepada peluang sebenar, termasuk memilih calon daripada Puteri,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Puteri Umno 2025.
Beliau berkata, PRN akan datang iaitu Melaka dan Johor menjadi ujian sama ada komitmen terhadap penglibatan wanita benar-benar direalisasikan atau sekadar janji, sambil menegaskan Puteri layak diberi peranan strategik berdasarkan potensi dan bakat dimiliki.
Nurul Amal turut menegaskan semua tuntutan Puteri dibuat bukan demi kepentingan diri atau mana-mana kelompok, sebaliknya bagi memastikan kelangsungan dan kekuatan parti.
“Kami minta usul ini bukan kerana kepentingan diri, tetapi demi kelangsungan dan kekuatan parti ini ke hadapan,” katanya.
Dalam konteks itu, beliau mempertahankan cadangan menaikkan had usia Puteri Umno kepada 40 tahun sebagai langkah perlu bagi memastikan peralihan generasi berlaku secara teratur, adil dan berfasa.
Katanya, parti yang mahu terus hidup tidak boleh bergantung kepada satu generasi semata-mata, kerana kegagalan mengatur peralihan hari ini akan mempertaruhkan masa depan Umno.