
Dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda, Akmal berkata beliau sudah menyampaikan hasrat tersebut kepada Presiden Umno Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh, yang mengingatkannya bahawa ‘pejuang tidak akan meninggalkan rakan-rakan’.
Katanya, meskipun beliau sebelum ini lantang menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama dengan DAP, beliau tetap menghormati keputusan parti untuk kekal dalam kerajaan perpaduan.
“Datuk Seri, saya mohon maaf, dengan ini saya letak jawatan exco berkuat kuasa minggu depan,” katanya yang kemudian mencetuskan suasana gamat perwakilan.
Akmal menegaskan peletakan jawatan itu bukan kerana pangkat atau kedudukan, sebaliknya demi mempertahankan suara akar umbi dan maruah politiknya.
“Jawatan tak penting, yang penting suara akar umbi dan maruah. Saya ada maruah — kamu ada maruah atau tidak?” katanya dalam nada tegas, dipercayai ditujukan kepada DAP.
Beliau turut memberi amaran kepada pihak yang didakwanya sering ‘menekan’ ketua menteri, bahawa ketiadaannya dalam barisan Exco tidak akan melemahkan perjuangannya.
“Bila saya tiada dalam exco, saya akan lawan habis-habisan,” katanya, menegaskan langkah melepaskan jawatan itu bertujuan membolehkannya menentang DAP tanpa terikat dengan keputusan kerajaan negeri.