
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata sayap Wanita dan Puteri serta kepimpinan nasionalnya tidak berkongsi pendirian sama dengan Pemuda Umno.
“Tiada siapa ikut jejaknya. Jadi, tindakan Akmal tidak akan menjejaskan (hubungan) parti dengan PH,” katanya kepada FMT.
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata walaupun cawangan Pemuda Umno negeri lain mungkin mengikuti Akmal, perkara berkenaan berkemungkinan besar akan berlaku terutamanya di kawasan majoriti Melayu.
“Cawangan negeri mungkin mengikut teladannya dengan memutuskan hubungan dengan rakan sejawat mereka daripada DAP atau PH, terutamanya di kawasan didominasi Umno,” katanya.
Akmal mengumumkan peletakan jawatannya sebagai exco kemajuan desa, pertanian dan keterjaminan makanan Melaka, berkuat kuasa minggu depan, dalam perhimpunan Pemuda Umno, pada Rabu.
Adun Merlimau itu kerap bertelingkah dengan pemimpin DAP berhubung pelbagai isu, walaupun dua parti tersebut merupakan sekutu dalam kerajaan persekutuan dan negeri.
Pada konvensyen khas Pemuda Umno pada 3 Jan, Akmal menyeru parti menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan menjadi pembangkang, sambil memetik pelanggaran berulang terhadap apa yang dipanggil sebagai ‘garis merah’ membabitkan isu 3R iaitu kaum, agama, dan institusi raja.
Namun, Presiden Umno Zahid Hamidi, berkata parti akan kekal setia kepada kerajaan perpaduan sehingga PRU akan datang.
Bebas kritik DAP
Syaza berkata peletakan jawatan itu akan membolehkan Akmal mengkritik DAP dengan lebih agresif menjelang PRN Melaka, dijangka berlangsung lewat tahun ini.
“Tetapi, beliau masih akan terikat dengan hubungan kerjasama keseluruhan Umno dengan DAP di peringkat nasional,” katanya.
Mazlan berkata, peletakan jawatan Akmal menunjukkan keteguhan pendirian anti-DAP, namun mencadangkan beliau mungkin akan terlihat ‘lebih berprinsip’, jika turut meletak jawatan sebagai ketua Pemuda Umno.
Namun, Syaza berkata, melepaskan jawatan ketua Pemuda akan menjadikannya lemah secara politik, sambil menyatakan: “Jika beliau meninggalkan jawatan itu, beliau akan menjadi ‘paria politik’. Ke mana platformnya nanti?”
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata peletakan jawatan sebagai ketua Pemuda tidak akan membawa banyak kesan di peringkat persekutuan, memandangkan Umno kekurangan dominasi di Putrajaya untuk memberikan impak penentu.
“Walaupun Barisan Nasional (BN) kekal tiang kestabilan dalam kerajaan persekutuan, mereka tidak lagi dominan.”