
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Razali Idris, berkata sokongan tersebut wajar diberikan memandangkan PAS sebelum ini menyokong Bersatu ketika parti itu menerajui PN.
Menurutnya, PAS dan Bersatu merupakan pengasas PN dan kerjasama antara kedua-dua parti perlu terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
“Secara peribadi, saya mencadangkan PAS memegang jawatan pengerusi PN serta ketua pembangkang bagi memberi ruang kepada parti itu memimpin PN menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya kepada FMT.
Razali berkata pimpinan PN mungkin mengadakan perbincangan dalam masa terdekat, dengan Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, dijangka memanggil mesyuarat susulan peletakan jawatan Mohamed Azmin Ali sebagai setiausaha agung gabungan itu, selepas Muhyiddin mengambil langkah sama.
Dalam pada itu, Razali yang juga ketua Bersatu Terengganu menolak dakwaan kononnya hubungan Bersatu dan PAS semakin renggang akibat beberapa kenyataan terbuka oleh pemimpin tertentu.
“Hakikatnya Bersatu akan terus bekerjasama rapat dengan PAS dalam PN. Hubungan pimpinan tertinggi kedua-dua parti juga baik dan akrab,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kenyataan terbuka segelintir pemimpin parti komponen PN di media sosial telah mencetuskan persepsi negatif, selain dimanipulasi musuh politik untuk mengeruhkan keadaan.
“Saya menyeru supaya perbalahan di media sosial dihentikan. Serahkan kepada kepimpinan tertinggi untuk membuat keputusan. Kita yang berada di bawah ini bersedia menerima apa jua keputusan dan menunggu mesyuarat pimpinan PN sebelum bergerak bersama menghadapi PRU16,” katanya.
Razali turut berkata perbezaan pandangan yang berlaku bukanlah krisis besar, sebaliknya perkara biasa bagi sebuah parti yang masih baharu.
“Bersatu baru berusia 10 tahun dan banyak lagi cabaran perlu ditempuhi. Namun saya yakin parti ini akan kembali kukuh,” katanya.
Pada Isnin, MPT Bersatu memaklumkan mereka menghormati keputusan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN dan mempertahankannya atas dasar prinsip serta tanggungjawab.
Susulan peletakan jawatan itu awal bulan lalu, PAS menyatakan kesediaan untuk menerajui PN, namun perkara tersebut masih perlu dimuktamadkan dalam mesyuarat tertinggi gabungan.
Sementara itu, Razali turut menafikan dakwaan kononnya MPT Bersatu telah berbincang untuk memecat beberapa pimpinan termasuk Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden.
“Dakwaan itu tidak benar dan berniat jahat. Tiada sebarang agenda untuk memecat sesiapa, apatah lagi timbalan presiden. Saya tidak tahu dari mana sumber berita itu,” katanya.