Beri ruang komponen PN buat ketetapan, Hadi diberitahu

Beri ruang komponen PN buat ketetapan, Hadi diberitahu

Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham berkata proses dalaman setiap parti perlu dihormati.

Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham berkata parti komponen perlu diberi ruang sebagai menjawab seruan Presiden PAS Hadi Awang supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN.
PETALING JAYA:
Semua parti komponen Perikatan Nasional (PN) perlu diberikan ruang untuk membuat ketetapan masing-masing terlebih dahulu sebelum keputusan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan.

Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, berkata mesyuarat MT PN akan diadakan bagi membincangkan peletakan jawatan bekas pengerusi gabungan Muhyiddin Yassin, namun proses dalaman setiap parti perlu dihormati.

“Bersatu sendiri akan membuat beberapa ketetapan dalam mesyuarat MPT yang akan berlangsung dalam masa terdekat. Begitu juga dengan PAS dan komponen lain seperti Gerakan dan MIPP (Parti Progresif India Malaysia),” katanya kepada FMT.

Hilman mengulas seruan Presiden PAS Hadi Awang supaya dipanggil segera mesyuarat tergempar MT PN untuk menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin selaku pengerusi gabungan, termasuk pelantikan baharu jawatan itu.

Hadi berkata, PAS menghormati dan menerima keputusan diambil Muhyiddin berkuat kuasa 1 Jan lalu, selain merakamkan penghargaan atas segala khidmat dan jasa baktinya.

Katanya, perkara itu perlu diambil perhatian dan tindakan sewajarnya memandangkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan tersebut telah berjalan melebihi 10 hari.

Mengulas lanjut, Hilman berkata peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi PN belum berjalan.

“Seperti termaktub dalam Perlembagaan PN, hanya berkuat kuasa setelah mendapat persetujuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden MIPP, S Punithan, berkata beliau menerima surat daripada Hadi berhubung panggilan mesyuarat, semalam.

Katanya, namun sebarang keputusan berkaitan pelantikan pengerusi PN mesti diputuskan secara kolektif oleh MT gabungan, bukan dibuat secara unilateral oleh mana-mana pihak.

“MIPP berpendirian tiada mana-mana pihak boleh membuat keputusan secara unilateral dalam PN. Kita tidak boleh mempunyai pandangan bahawa satu pihak lebih dominan berbanding yang lain.

“Sama ada melibatkan peletakan jawatan mahupun pelantikan pengerusi baharu, perkara tersebut perlu dipertimbangkan secara menyeluruh oleh MT,” katanya.

Beliau turut menekankan calon pengerusi PN perlu bersifat sederhana dan mampu bekerjasama dengan semua parti komponen termasuk memiliki rekod prestasi terbukti dalam menguruskan Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.