SPRM tunggu respons agensi penguatkuasaan asing berkait kes IJM

SPRM tunggu respons agensi penguatkuasaan asing berkait kes IJM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata analisa kewangan sedang dijalankan bagi mengenal pasti aliran wang ke luar negara.

WISMA IJM BUILDING
SPRM sedang menyiasat kes IJM Corporation berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara dianggarkan kira-kira RM2.5 bilion.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menunggu maklum balas beberapa agensi penguatkuasaan asing berhubung pemilikan aset kira-kira RM2.5 bilion dalam siasatan ke atas IJM Corporation.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata pihaknya sedang menjalankan analisa kewangan bagi mengenal pasti aliran wang ke luar negara, selepas berbincang dengan agensi penguat kuasa dan perisikan asing bagi menjejak aset di negara lain.

“Kita sedang mengenal pasti individu terlibat berhubung dakwaan proses perolehan syarikat yang dimanipulasi atau konflik kepentingan.

“Penglibatan pihak mempunyai kepentingan dalam membuat keputusan yang memberikan kelebihan kepada beberapa individu antara kelemahan tadbir urus korporat dikenal pasti SPRM setakat ini,” katanya menurut Sinar Harian.

Rabu lalu, SPRM dilaporkan sedang menyiasat kes IJM Corporation berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara dianggarkan kira-kira RM2.5 bilion.

Pasukan penyiasat turut menggeledah empat lokasi membabitkan kediaman dan pejabat seorang pegawai pengurusan tertinggi IJM Corporation.

Sebanyak 55 akaun bank persendirian dan syarikat berkaitan dianggarkan kira-kira RM15.8 juta dibekukan, dengan siasatan SPRM memfokuskan usaha mengesan dan menyita aset lain disyaki diperoleh melalui aktiviti pengubahan wang haram.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.