Tambang sama seperti dikenakan MASwings, kata AirBorneo

Tambang sama seperti dikenakan MASwings, kata AirBorneo

Syarikat penerbangan milik kerajaan Sarawak beri maklum balas terhadap kritikan orang ramai berkait harga tambang yang ditempah di laman web.

MASwings plane
AirBorneo berkata, semua laluan dikendalikan semasa fasa awal perkhidmatannya berada di bawah rangkaian RAS dan mencerminkan laluan yang sebelum ini diliputi MASwings, merangkumi destinasi di Sarawak, Sabah, dan Labuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
AirBorneo berkata harga tiket laluannya tidak dinaikan selepas pelancaran tempahan di laman web, di tengah-tengah kritikan orang ramai mengenai tambang syarikat penerbangan dimiliki kerajaan Sarawak itu.

AirBorneo berkata, tambang kekal sama seperti dikenakan sebelum ini oleh MASwings memandangkan ia disubsidi di bawah program Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS).

Syarikat berkata, struktur tambang ditentu ukur untuk memastikan kelestarian operasi, sambil mengekalkan harga pada tahap munasabah.

Laman web tempahan syarikat penerbangan itu mula beroperasi pada 10 Dis, menawarkan tiket perjalanan bermula 14 Jan, selaras pengambilalihan operasi dan perundangan MASwings oleh AirBorneo Holdings Sdn Bhd mulai 1 Jan.

AirBorneo berkata, semua laluan dikendalikan pada fasa awal perkhidmatannya berada di bawah rangkaian RAS dan mencerminkan laluan yang sebelum ini diliputi MASwings, merentasi destinasi di Sarawak, Sabah, dan Labuan.

Pada 12 Dis, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, mempertahankan syarikat penerbangan itu daripada rungutan beberapa laluan dengan tambang melebihi RM200, menyatakan tambang akan stabil apabila operasi sudah matang.

AirBorneo berkata, sebarang pelarasan tambang masa depan hanya akan dibuat setelah perjanjian RAS baharu dimuktamadkan dengan kerajaan persekutuan.

Katanya, pihak syarikat sedang membangunkan strategi harga berpatutan untuk laluan bukan RAS di masa hadapan, mengambil kira kos operasi termasuk memberikan nilai, ketersambungan, dan kebolehpercayaan.

Kerajaan Sarawak menandatangani perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group pada Februari untuk perolehan MASwings, sekali gus membuka jalan bagi pelancaran AirBorneo sebagai syarikat penerbangan serantau didukung kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.