
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memaklumkan Hakim Suhaila Haron, pihaknya masih menunggu laporan perubatan lengkap daripada hospital kerajaan, walaupun mempunyai laporan hospital swasta.
“Oleh itu, kami memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum, sementara menunggu laporan daripada hospital kerajaan,” kata Aisyah.
Peguam Mohd Ridzuan Sihat tidak membantah permohonan untuk menangguh prosiding hari ini.
Pada Jan 8 lalu, Perada Randai, 26, mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap dua bayi di sebuah taska, Disember lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Perada yang berasal dari Sarawak didakwa menggunakan bantal menutup muka seorang bayi lelaki enam bulan.
Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa menampar pipi dan mengetuk kepala seorang bayi perempuan sembilan bulan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah taska di unit pangsapuri Kampung Baru Salak Selatan pada 15 Dis lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Jason Wee yang mewakili ibu bayi lelaki itu memberitahu wartawan, pihaknya akan menyediakan kenyataan impak mangsa yang akan dibacakan ibu mangsa pada tarikh jatuh hukum.
“Bayi itu baru berusia enam bulan dan tidak mampu mempertahankan diri, apatah lagi bersuara.
“Kami berpandangan kenyataan impak mangsa itu perlu bagi membawa suara bayi malang itu yang mengalami penderaan serta trauma akibat perbuatan suspek,” katanya selepas prosiding pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa trauma susulan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial memaparkan anaknya dicampak, digolek dan ditampar pengasuh di taska.