
Hakim Amelati Parnell membuat keputusan terhadap responden Abraham Tobing, 33, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk meningkatkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret yang didakwa tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan.
Abraham mengaku bersalah terhadap dua tuduhan secara sengaja menyebabkan kecederaan terhadap MP Suhash, yang ketika itu menjalani latihan kadet maritim di syarikat tempat responden bekerja sebagai Pegawai Kedua.
Sehubungan itu, Amelati menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM2,000 bagi setiap tuduhan ke atas Abraham, dengan tempoh penjara diarahkan berjalan serentak, lapor Bernama.
Beliau mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Bintulu pada 9 April 2025, yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap tuduhan, dengan tempoh penjara sekiranya gagal membayar denda. Responden telah membayar kedua-dua denda itu.
Abraham diwakili peguam Hasnah Saini manakala Timbalan Pendakwa Raya Nur Asfa Jannah Mohamad Ariff Irwani bertindak bagi pihak pendakwaan.
Berdasarkan fakta kes, responden menumbuk mangsa di bahagian dada dan bahu pada 5 Dis 2022.
Antara 6 hingga 15 Dis 2022, serangan berterusan dengan responden menolak mangsa ke atas meja dan menampar bahagian belakang lehernya ketika kapal berada di laut.
Seorang pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa cedera pada bahu, dada dan tangan kanan.
Menurut siasatan, serangan didakwa bertujuan mendisiplinkan mangsa, apabila responden tidak berpuas hati dengan prestasi mangsa semasa latihan.
Dalam penghakiman ringkasnya, Amelati menekankan mahkamah tidak sekali-kali membenarkan buli atau penderaan fizikal, terutamanya dalam hubungan antara pihak atasan dan bawahan.
“Kesalahan serius mesti dikenakan hukuman yang setimpal dan bersifat pencegahan bagi mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan,” katanya.