
Ketua Dewan Ulama PAS Perlis, Ahmad Adnan Fadzil, berkata ‘pihak yang sepatutnya berperanan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik’ gagal berunding secara berkesan dengan Istana Perlis bagi pihak PAS berhubung penukaran menteri besar.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa “pada saat-saat terakhir sebelum pengisytiharan menteri besar baharu daripada Bersatu, Tuanku Raja masih membuka peluang untuk menteri besar tersebut datang daripada PAS.”
“Namun, Adun-adun PAS gagal memainkan peranan sewajarnya apabila diajukan pilihan oleh Tuanku Raja,” katanya di Facebook.

Ahmad berkata beliau berpendirian bahawa tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan PAS Perlis, termasuk tiga orang Adun yang dihentikan keahlian.
“Begitu juga Bersatu, yang pada hemat saya tidak terlibat langsung dalam kemelut ini,” katanya, yang menambah meletakkan keseluruhan kesalahan ke atas Bersatu adalah tidak adil.
Ahmad berkata jalan yang lebih matang dan bertanggungjawab adalah mengambil kembali amanah, menilai semula kesilapan, dan melakukan pembetulan.
“Tiada sesiapa yang perlu meletakkan jawatan,” katanya, sambil menyeru PAS kembali menyertai barisan exco.
“Kerajaan Perlis wajar terus ditadbir seperti sebelumnya, iaitu oleh Perikatan Nasional, dengan barisan exco daripada gabungan PAS dan Bersatu, dengan perubahan hanya melibatkan jawatan menteri besar sahaja.”
Kemelut di Perlis tercetus selepas beberapa Adun PN – dikatakan lima Adun Bersatu dan tiga Adun PAS – mengemukakan akuan berkanun bagi menarik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar.
Susulan itu, Shukri yang juga Adun Sanglang melepaskan jawatan menteri besar atas faktor kesihatan pada Khamis lalu, digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.
Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan semua exco PAS akan melepaskan jawatan sebagai tanda solidariti, dan parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.