Asri kesal tokoh agama bebas buat dakwaan tak berasas

Asri kesal tokoh agama bebas buat dakwaan tak berasas

Mufti Perlis berkata orang ramai pada umumnya takut mempersoalkan ulama atau guru agama, walaupun mereka terkhilaf.

asri
Mufti Perlis Asri Zainul Abidin berkata tanpa logik dan bukti, maka ‘tiada Islam’.
PETALING JAYA:
Mufti Perlis, Asri Zainul Abidin kesal tokoh agama seolah-olah diberikan “pas percuma” untuk membuat sebarang kenyataan, termasuk dakwaan tidak berasas, tanpa bimbang ditegur.

Tegasnya, orang ramai pada umumnya takut mempersoalkan ulama atau guru agama, walaupun mereka terkhilaf.

Beliau berkata, keengganan mempersoalkan tokoh agama menyebabkan mereka berani “melumpuhkan” minda masyarakat.

“Jadi, masyarakat akan patuh kepada mereka sepenuhnya, (dengan mereka) mendakwa rakyat jahil tentang agama,” katanya dalam kenyataan.

Asri yang lebih dikenali Maza berkata, walaupun Islam menuntut umatnya menghormati ulama, ia tidak menghalang mereka daripada mengkritik atau mempersoalkan pandangan ulama, dengan syarat mereka tidak bersikap biadab.

“Ini amalan ulama yang dihormati selama berabad.

“Dakwaan tidak berasas tidak patut dikaitkan dengan agama,” katanya sambil menambah tanpa logik dan bukti, maka ‘tiada Islam’.

Walaupun Asri tidak merujuk mana-mana individu atau insiden, kenyataannya dibuat beberapa hari selepas beliau berkata sebarang dakwaan mengaitkan kemelut politik di Perlis dengan projek negeri tertentu perlu disokong bukti.

Beliau turut memberi amaran dakwaan tidak berasas membimbangkan kerana ia boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap institusi tertentu.

Asri berkata demikian susulan kenyataan Presiden PAS, Hadi Awang berhubung punca utama kemelut politik di Perlis.

Hadi mendakwa kemelut itu berpunca daripada bekas menteri besar Perlis, Shukri Ramli enggan tunduk kepada tekanan untuk meluluskan projek tertentu yang didakwa melanggar peraturan.

Shukri meletak jawatan menteri besar Perlis atas faktor kesihatan pada 25 Dis lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.