Kenyataan Ketua Dewan Ulama hanya pandangan peribadi, kata pesuruhjaya PAS Perlis

Kenyataan Ketua Dewan Ulama hanya pandangan peribadi, kata pesuruhjaya PAS Perlis

Ahmad Ali berkata, Ahmad Adnan Fadzil keluar pandangan tentang kemelut politik Perlis tanpa rujuk pucuk pimpinan.

Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali nasihati semua ahli dan pemimpin PAS Perlis supaya bertenang dan fokus jalan tugas diamanahkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali berkata, kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS negeri Ahmad Adnan Fadzil, bahawa kemelut politik di negeri itu berpunca daripada kegagalan laksana tanggungjawab dengan baik, hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili parti.

Ahmad berkata, Adnan mengeluarkan pandangan sedemikian tanpa merujuk pucuk pimpinan, walaupun sebelum ini ahli PAS telah dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan individu bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh mengeruhkan keadaan.

“Sebenarnya, kenyataan yang dibuat oleh ketua Dewan Ulama PAS Perlis itu nampaknya adalah pandangan peribadinya sendiri, bukan mewakili parti atau pimpinan PAS Perlis,” katanya kepada FMT.

“Sebelum ini saya telah keluarkan nasihat kepada ahli PAS, terutama pimpinan di Perlis (agar) tidak buat kenyataan mengikut pandangan sendiri, perlu rujuk dahulu kepada saya, pucuk pimpinan negeri atau PAS pusat.”

Sehubungan itu, Ahmad sekali lagi menasihati semua ahli dan pemimpin PAS Perlis supaya bertenang dan fokus menjalankan tugas yang diamanahkan.

“Semua perlu patuh kepada arahan parti, mudah-mudahan kita dapat capai keputusan harmoni untuk parti, hentikan tuduh menuduh yang tidak menguntungkan parti.

“Saya juga yakin kesatuan PAS Perlis bersama pimpinan PN negeri akan kembali kuat selepas ini,” katanya sambil memaklumkan, pihaknya juga menunggu arahan pimpinan pusat mengenai langkah selanjutnya.

Terdahulu, lima Adun Bersatu dan tiga daripada PAS dilaporkan menarik sokongan terhadap menteri besar Perlis ketika itu, Shukri Ramli daripada PAS.

Susulan itu, tiga Adun PAS itu dihentikan keahlian oleh parti, seterusnya hilang jawatan wakil rakyat.

Shukri kemudian meletak jawatan menteri besar pada 25 Dis atas faktor kesihatan dan beliau digantikan oleh Abu Bakar Hamzah daripada Bersatu, yang mengangkat sumpah Ahad lepas.

Awal hari ini, Adnan mendakwa kegagalan melaksanakan tanggungjawab dengan baik menjadi punca utama kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih kepada Bersatu.

Adnan berkata, beliau dimaklumkan bahawa ‘pada saat-saat terakhir’, Raja Perlis masih membuka peluang untuk PAS mencalonkan menteri besar, namun ‘pihak yang sepatutnya berperanan melaksanakan tanggungjawab dengan baik’ gagal berunding secara berkesan bagi pihak parti.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa melibatkan kepimpinan PAS Perlis, dan Bersatu tidak boleh disalahkan secara keseluruhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.