
Beliau berkata, Bersatu mempunyai jumlah Adun yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, yang menetapkan keperluan minimum empat exco, tidak termasuk menteri besar.
Abu Bakar memaklumkan, pelantikan dijangka akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu.
“Kita faham dan jelas bahawa itu pendirian PAS … Walau macam manapun, kita masih berharapkan bahawa hubungan di antara PAS dan juga Bersatu dalam kerajaan negeri, iaitu kerajaan Perikatan Nasional, akan terus dikekalkan,” katanya.
Awal hari ini, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa exco parti itu akan melepaskan jawatan masing-masing dalam kerajaan negeri sebagai tanda solidariti terhadap Shukri Ramli, yang baru-baru ini meletak jawatan menteri besar.
Beliau menegaskan, PAS juga tidak akan menerima sebarang jawatan exco dalam barisan kepimpinan baharu Abu Bakar.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau akan mendapatkan nasihat daripada kepimpinan tertinggi Bersatu, termasuk Presiden Muhyiddin Yassin, sebelum memuktamadkan senarai exco baharu yang mungkin menyaksikan beberapa portfolio digabungkan.
Tambahnya, tiga Adun yang dipecat daripada PAS baru-baru ini mungkin akan mendapat tempat dalam barisan kepimpinan baharu negeri, jika mereka berjaya mengekalkan kerusi masing-masing sebagai calon bebas.
“Peluang dan ruang akan diberikan (kepada) mana-mana Adun bebas tersebut untuk bersama-sama mengharungi lautan sanubari yang berlaku di Perlis,” katanya.
Fakhrul Anwar Ismail, Ridzuan Hashim dan Saad Seman dipecat daripada PAS selepas mereka menarik balik sokongan terhadap Shukri sebagai menteri besar sebelum beliau meletak jawatan.
Ekoran itu, kerusi DUN Bintong, Guar Sanji dan Chuping diisytiharkan kosong, dan Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka bermesyuarat minggu depan untuk memutuskan sama ada PRK perlu diadakan.