
Presiden Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti, selepas mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat hari ini.
Hadi berkata ketetapan dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) perlembagaan PAS.
“PAS akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada speaker DUN bagi tujuan memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta,” menurut kenyataan.
Menurut perlembagaan pindaan 2025 yang disiarkan di laman rasmi PAS, Fasal 15A(1)(b) menyatakan keahlian seorang ahli dipilih sebagai seorang Adun terhenti serta-merta apabila ahli tersebut menyertai atau menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Fasal 76 pula menyentuh tatertib bagi ahli PAS.
Kenyataan Hadi bagaimanapun tidak menyatakan tindakan wakil rakyat berkenaan, yang membawa kepada ketetapan berdasarkan dua fasal tersebut.
Kelmarin, FMT memetik sumber melaporkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis Jumaat lepas, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Menteri Besar Shukri Ramli.
Saad, Fakhrul dan Ridzuan dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri, selain lima wakil rakyat Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena), menurut sumber.
Keadaan ini dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN untuk terus menjadi menteri besar.
Sebelum situasi ini, PAS menduduki sembilan kerusi manakala Bersatu lima kerusi, daripada 15 kerusi DUN.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional Perlis, Shahidan Kassim, dilapor menafikan dakwaan wujud ‘pakatan terancang’ membabitkan lapan Adun tersebut.
Hari ini, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari meluahkan rasa hairan terhadap tindakan pihak tertentu yang masih menyerahkan nama calon menteri besar, di sebalik pergolakan di Perlis.
Kenyataan itu menyusuli laporan Utusan Malaysia, bahawa Bersatu mengemukakan tiga nama Adunnya sebagai calon, iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Megat Hashirat Hassan (Pauh) dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Pakatan Harapan Perlis, yang menduduki satu kerusi DUN, hari ini mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran semasa, untuk kekal sehingga tamat penggal.