
Zambry berkata ketidaksepakatan tidak memberi lesen untuk mengabaikan tatacara dan etika yang dipersetujui bersama.
“Teguran yang berhemah, bernada lunak dan berlandaskan fakta jauh lebih berkesan daripada kenyataan terbuka yang bersifat mencabar dan mengguris,” katanya kepada FMT.
Zambry berkata lebih mendukacitakan apabila kenyataan sedemikian daripada seorang pemimpin yang memegang jawatan penting dalam parti komponen BN.
Beliau menjawab kritikan Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng, bahawa tindakan Zahid tidak melayakan beliau untuk terus menerajui BN, selepas menyatakan kesediaan menarik balik kenyataan menggambarkan wujud ‘Team B’ dalam DAP.
Tan berkata tindakan itu merupakan penghinaan secara langsung terhadap kredibiliti politik gabungan yang telah dibina selama bertahun-tahun. Beliau juga menyifatkan Zahid sebagai ‘liability terbesar’ BN.
Ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lepas, Zahid mendakwa pemimpin DAP yang menghentam bekas perdana menteri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh merupakan sebahagian daripada ‘Team B’ DAP, sekaligus memberi gambaran wujudnya perpecahan dalaman parti itu.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook kemudian menyangkal dakwaan wujudnya puak-puak dalam parti itu, menegaskan hanya terdapat satu ‘Team DAP’.
Sementara itu, Zambry berkata saluran dalaman gabungan harus dimanfaatkan jika terdapat ketidaksetujuan atau kebimbangan terhadap kepimpinan.
“BN tidak boleh diperkukuh dengan jeritan dan celaan, tetapi dengan kebijaksanaan, adab dan kesetiaan kepada semangat muafakat.
“Kepimpinan yang berwibawa bukan diukur melalui keberanian melontar kritikan terbuka, tetapi melalui kebijaksanaan memilih kata, menjaga adab, dan meletakkan kepentingan gabungan mengatasi kepentingan peribadi.”
Komen Tan mendorong Akmal mencabar beliau supaya mendesak partinya keluar BN, atau sebagai alternatif, Tan keluar parti jika MCA kekal dalam BN.