
Jurucakap Jawatankuasa Bertindak Ahli-ahli KPF, Rusnizam Mahat, mendakwa sebahagian besar ahli masih belum menerima bayaran walaupun permohonan penebusan syer dibuat sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, jumlah pelaburan warga Felda dalam KPF mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap individu.
“Ada ahli yang sakit belum mendapat bayaran penuh dan mereka yang bersiap untuk menunaikan haji juga belum menerima bayaran walaupun dokumen lengkap diserahkan.
“Lebih menyedihkan terdapat ahli yang meninggal dunia tanpa sempat menerima wang jualan saham. Dalam keadaan begini, kami berasa seolah-olah pengemis yang terpaksa merayu dan menuntut wang jualan saham kami,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Tun Razak.
Mereka menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
Rusnizam berkata, walaupun pelbagai jaminan diberikan sebelum ini termasuk oleh pengurusan KPF, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dan Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek untuk menyelesaikan tuntutan itu dalam tempoh sembilan bulan, ia hanya tinggal janji.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai tahap ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban pengurusan KPF.
“Semakin lama isu ini berlarutan, semakin ramai ahli hilang kepercayaan terhadap koperasi ini, apatah lagi dalam keadaan dividen yang rendah diberikan setiap tahun,” katanya memaklumkan KPF mempunyai lebih 9,000 ahli setakat ini.
Rusnizam berkata, pihaknya juga membuat beberapa tuntutan antaranya siasatan audit bebas terhadap kewangan dan aliran tunai KPF, penerbitan jadual pembayaran telus dan terbuka kepada semua ahli serta pemantauan lebih tegas oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Jika tiada penyelesaian konkrit dalam masa terdekat, kami tidak teragak-agak menggerakkan lebih ramai ahli untuk mengambil tindakan lanjut termasuk mengemukakan aduan rasmi kepada SKM, membawa isu ini ke Parlimen, piket besar-besaran melibatkan ribuan ahli KPF yang terkesan dan memulakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, bekas kakitangan Felda dari Seremban, Negeri Sembilan, Syed Alwi Syed Shariff, 68, meluahkan kekecewaan sambil memaklumkan dana keuntungan saham tersebut untuk digunakan kemudian hari.
Hasmah Ahmad, 70, dari Jengka, Pahang, pula berkata akibat kegagalan mendapatkan bayaran sebagaimana dijanjikan hidupnya ‘bertambah sengsara’ kerana dia ibu tunggal dan mempunyai anak orang kurang upaya (OKU).
“Saya amat memerlukan dana tersebut, dengan usia 70 tahun ia di luar kemampuan saya untuk bekerja, jadi dana saham itulah saya harapkan,” katanya.
Julai tahun lalu Malaysiakini melaporkan ahli KPF yang belum menerima bayaran jualan saham sejak 2023 akan mula menerimanya dalam tempoh enam ke sembilan bulan.
Shabery memberi jaminan itu selepas KPF mencairkan lebih RM200 juta sahamnya.