Tiada mekanisme undang-undang bagi tahanan rumah, kata Mahkamah Tinggi

Tiada mekanisme undang-undang bagi tahanan rumah, kata Mahkamah Tinggi

Hakim Alice Loke berkata budi bicara bagi hukuman tahanan rumah terletak pada komisioner jeneral penjara dengan titah adendum itu melucutkan budi bicaranya.

Najib Razak
Bekas perdana menteri, Najib Razak, disabitkan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta dan sedang menjalani hukumannya di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.
KUALA LUMPUR:
Tahanan rumah tidak boleh dilaksana kerana tiada mekanisme undang-undang bagi tujuan itu, kata hakim Mahkamah Tinggi ketika menolak permohonan bekas perdana menteri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun atas sabitan kes SRC International di bawah syarat itu.

Hakim Alice Loke, berkata mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995, budi bicara membenarkan seseorang menjalani hukuman bawah tahanan rumah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa komisioner jeneral penjara.

“Titah adendum itu melucutkan budi bicara berkenaan justeru ia tidak selaras dengan kerangka statutori,” katanya dalam penghakiman.

Beliau berkata, titah adendum tersebut tidak dipertimbang atau diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61, malah tidak ada sebarang pematuhan terhadap Perkara 42 Perlembagaan.

Perkara yang dimaksudkan itu memberikan hak prerogatif kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan.

Loke berkata, perintah tersebut tidak sah dan responden tidak mempunyai kuasa mahupun kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakannya.

Beliau juga memutuskan hujah pemohon bahawa baginda tidak berkewajipan membuat keputusan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan – tidak mempunyai asas undang-undang, bahkan tidak boleh dipertahankan.

Najib, 72, disabitkan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang, sejak 23 Ogos 2022.

Pada 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan separuh tempoh penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Semakan kehakiman difailkan tahun lalu bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum berkenaan untuk meletakkan Najib di bawah tahanan rumah.

Pada Mac, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, memberitahu Dewan Rakyat bahawa Akta Penjara memberi kuasa kepada menteri dalam negeri untuk mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, atau tempat sebagai ‘penjara’ bagi tujuan pemenjaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.