
Teresa Kok (PH-Seputeh) memetik pembangunan Bandar Madani di Bukit Jalil sebagai contoh, menyatakan bahawa beliau hanya tahu tentang projek tersebut selepas membaca laporan berita.
“Saya tidak dimaklumkan langsung. Saya hanya tahu selepas baca berita, dan kemudian diberitahu bahawa 15,000 unit rumah akan dibina di situ.
“Bagaimana sesuatu berskala besar sebegini boleh diteruskan tanpa libat urus awal dengan Ahli Parlimen tempatan?” soal Kok, sambil menambah beliau kecewa kerana pandangan wakil rakyat seolah-olah tidak dipandang serius oleh Jemaah Menteri.
Kok membangkitkan isu tersebut ketika Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Lo Su Fui sedang menggulung perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, walaupun sedar inisiatif sedemikian dikendalikan oleh kerajaan persekutuan, penting bagi Ahli Parlimen dilibatkan sama untuk memberi maklum balas.
Katanya, walaupun niat di sebalik inisiatif seperti program perumahan Madani adalah murni, ia sering gagal mengambil kira realiti sebenar di lapangan seperti kesesakan lalu lintas dan kekurangan kawasan lapang.
Beliau kemudian mencadangkan agar menteri Wilayah Persekutuan dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan ketua setiausaha negara (KSN) bertindak sebagai timbalan pengerusi.
“Menteri dan wakil rakyat lebih peka dengan isu tempatan berbanding penjawat awam kanan, yang mungkin tidak faham sepenuhnya situasi di lapangan.
Pada masa ini, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh KSN.
Sebagai maklum balas, Lo berkata, untuk memastikan libat urus yang lebih baik dengan pihak berkepentingan, kementerian telah memperkenalkan inisiatif yang membolehkan kesemua 11 Ahli Parlimen Kuala Lumpur mendapatkan pandangan penduduk serta berkongsi maklumat mengenai projek pembangunan.