
Mengulas kritikan pembangkang termasuk Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Yeoh menekankan menegaskan fokusnya sejak sekian lama kekal kepada dasar, pelaksanaan, dan hasil kerja, bukan kepada latar belakang peribadi.
“Sejak 2008, sama ada sebagai Adun Subang Jaya, speaker DUN Selangor, Ahli Parlimen Segambut, timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, mahupun menteri belia dan sukan, tumpuan saya sentiasa kepada kerja dan bukannya warna kulit.
“Tumpuan saya sentiasa kekal kepada dasar dan pelaksanaan serta hasil kerja dan bukan terhadap warna kulit,” katanya sambil menegaskan mahu rekod pencapaiannya menjadi bukti kepimpinan.
Hannah berkata demikian pada sidang media selepas mengimbas perakam waktu tepat 8 pagi bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Lo Su Fui.
Rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, minggu lalu menyaksikan Yeoh bertukar portfolio dari Kementerian Belia dan Sukan.
Pelantikan dua pemimpin berbangsa Cina Yeoh dan Lo bagi portfolio Wilayah Persekutuan itu didakwa Takiyudin sebagai strategi sengaja mengukuhkan dominasi DAP di pusat bandar utama.
Anwar membidas kritikan itu yang disifatkannya sebagai keji kerana mengaitkan warna kulit atau kaum.
Yeoh, Ahli Parlimen Segambut dari DAP mengambil alih portfolio berkenaan daripada Dr Zaliha Mustafa, seorang daripada dua menteri digugurkan daripada Kabinet.
Lo yang juga Ahli Parlimen Tawau dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Mengulas lanjut, Hannah berkata pentadbirannya akan memberi keutamaan kepada kerjasama erat dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan yang lebih memahami denyut nadi kawasan masing-masing, selain mewakili suara rakyat yang wajar didengari.
Menggariskan visinya, Hannah berkata matlamat utama adalah menjadikan Wilayah Persekutuan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sebagai sebuah wilayah yang ‘bersih dari segi bentuk dan isi’ merangkumi persekitaran serta tadbir urus telus.
“Itu agenda pertama saya. Bukan hanya persekitaran bersih, tetapi juga tadbir urus yang bersih,” katanya ketika ditanya mengenai keutamaan awal termasuk isu Kampung Baru dan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, isu berkaitan Kampung Baru, Kampung Sungai Baru, dan PBT akan diteliti selepas menerima taklimat terperinci daripada agensi berkaitan, termasuk Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), sebelum sebarang keputusan dibuat.
Hannah turut memaklumkan beliau telah berbincang dengan Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani, dan menegaskan semua urusan yang telah dimulakan oleh Zaliha akan diteruskan.
Menjawab soalan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan, beliau berkata perkara itu tidak boleh diputuskan oleh satu parti sahaja kerana melibatkan kerajaan perpaduan dan memerlukan perbincangan bersama semua parti mentadbir.