Anwar persoal dakwaan Islam terpinggir

Anwar persoal dakwaan Islam terpinggir

Perdana menteri gesa semua henti main sentimen kaum dan agama.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim menegaskan sentimen berkaitan agama dan kaum tidak wajar dibiarkan menghakis teras dan tonggak kekuatan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim mempersoalkan dakwaan kononnya Islam terpinggir sambil menggesa rakyat tidak membiarkan sentimen berasaskan kaum dan agama mengalih hala tuju serta melemahkan kekuatan negara.

Perdana menteri berkata Malaysia sememangnya sebuah negara majoriti Melayu dan Islam, namun pada masa sama didiami masyarakat berbilang kaum dan agama sejak sekian lama.

“(Kita) tidak mungkin mengelak daripada kritikan yang kadang-kala tajam, keras dan gunakan sentimen semua kaum serta agama tertekan.

“Tetapi bila tanya apa faktanya, apa alasannya untuk menyatakan bahawa Islam terpinggir di negara kita? Semua tahu Islam itu agama persekutuan dan kita harus angkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya, hari ini.

Kenyataan Anwar itu menyusuli beberapa kenyataan pemimpin politik antaranya Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkait dengan isu Islam.

Dalam ucapan di konvensyen khas Pemuda Umno Sabtu lalu, Akmal bertanya: “Adakah kita mahu terus berada dalam kerajaan yang gagal menghormati agama Islam dan Raja-raja Melayu?

Menerusi Belanjawan 2026, pentadbiran Anwar memperuntuk RM2.6 bilion untuk memperkukuh syiar Islam antaranya dengan memperkasa pendidikan serta kemudahan.

Anwar turut menegaskan sentimen berkaitan agama dan kaum tidak wajar dibiarkan menghakis teras dan tonggak kekuatan negara.

Beliau juga menekankan Perlembagaan menjamin peranan bahasa, budaya serta prinsip Bumiputera, namun menegaskan ia tidak boleh disalahguna sehingga ada kelompok rakyat berasa terpinggir.

Menurut Anwar, membina negara yang bersatu memerlukan kekuatan dalaman serta kefahaman yang kukuh supaya rakyat tidak mudah terpengaruh atau hanyut dengan sentimen sempit.

Sindir elit kumpul kekayaan melimpah

Anwar turut menyindir golongan elit yang mendakwa memperjuangkan nasib bangsa dan agama, namun pada masa sama mengumpul kekayaan melimpah.

“Sebab itu diantara hal saya selalu tekankan kalau benar, orang-orang besar-besar dulu yang kaya raya ini prihatin dengan nasib bangsa, serahkan kepada rakyat setengah harta dalam dan luar negara termasuk melalui proksi.

“Kemudian bicara soal rakyat, Melayu atau Islam. Belum ada yang menyerah. Oleh kerana tidak ada yang menyerah? Maka SPRM dan badan-badan penguatkuasa harus menyerang supaya membersihkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.