8 wakil rakyat Perlis didakwa tarik sokongan terhadap MB

8 wakil rakyat Perlis didakwa tarik sokongan terhadap MB

Sumber PN memberitahu lapan Adun itu telah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Khamis lalu.

Menteri Besar Perlis Shukri Ramli berdepan risiko hilang sokongan majoriti mudah di DUN 15 kerusi jika sembilan wakil rakyat menarik balik sokongan terhadapnya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wujud spekulasi lapan wakil rakyat di Perlis telah menarik balik sokongan mereka terhadap Menteri Besar Shukri Ramli dari PAS.

Sumber Perikatan Nasional (PN) memberitahu FMT bahawa mereka telah menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Jumaat lalu, dengan menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.

Menurut sumber itu, lima daripada mereka adalah wakil rakyat Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

“Selain itu, tiga wakil rakyat PAS daripada kerusi Chuping, Bintong, dan Guar Sanji juga dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri,” tambah sumber tersebut.

Ketiga-tiga kerusi itu disandang Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Gan Ay Ling, satu-satunya wakil PKR di DUN Perlis, turut dipercayai menyerahkan deklarasi bertulis kepada Raja Perlis.

Sejak pilihan raya negeri 2022, PN menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN Perlis. Tanpa sokongan lapan wakil rakyat itu, Shukri bakal kehilangan majoriti mudah untuk terus menjadi menteri besar.

Sumber itu mendakwa Bersatu berada di sebalik tindakan itu untuk menguasai negeri dan melantik menteri besar dari wakilnya.

FMT telah menghubungi wakil Bersatu dan PAS untuk mendapat maklum balas.

Sumber turut memaklumkan Shukri yang juga Adun Sanglang telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pusat PAS semalam bagi membincangkan dakwaan plot untuk menyingkirkannya.

Hari ini, Bernama melaporkan Shukri sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur selepas mengalami sakit dada ketika pulang dari lawatan ke luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.