Lagi anggota geng ‘Captain Praba’ diekstradisi dari Bangkok

Lagi anggota geng ‘Captain Praba’ diekstradisi dari Bangkok

Suspek disyaki terbabit satu kes di Subang Jaya yang sedang disiasat kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya dan memiliki senjata dalam rusuhan.

Bukit Aman CID director M Kumar
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata suspek didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pagi tadi atas tuduhan menjadi anggota kumpulan jenayah terancang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lagi anggota geng “Captain Praba” diekstradisi ke Malaysia selepas ditahan di Bangkok, Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar, berkata penangkapan itu dibuat dengan bantuan pihak berkuasa Thailand selepas waran tangkap dikeluarkan 14 Jan lalu.

Menurutnya, suspek disyaki terbabit satu kes di Subang Jaya pada Januari 2025, yang disiasat kerana mendatangkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya serta memiliki senjata maut dalam rusuhan.

Beliau berkata, suspek dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pagi tadi di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan.

Jelasnya, pertuduhan di bawah Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan akan dibuat dalam masa terdekat.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.

“Kami merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat dan menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat diutamakan,” katanya dalam kenyataan.

Polis menahan hampir 20 ahli kumpulan itu setakat ini, dengan lebih 10 lagi masih bebas.

Kumpulan itu yang aktif sejak 2023 dan diketuai seorang rakyat Malaysia, mempunyai 33 ahli dan dikaitkan dengan jenayah ganas termasuk pembunuhan, serangan bersenjata, pembakaran serta rompakan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.