Bah naik mendadak, 4 terperangkap atas 4WD

Bah naik mendadak, 4 terperangkap atas 4WD

Semua mangsa dibawa keluar guna bot penyelamat bomba dalam kejadian di Niah, Sarawak.

kenderaan pacuan empat roda (4WD) terperangkap dalam banjir.
Kelihatan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) terperangkap dalam banjir. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Empat lelaki diselamatkan selepas terperangkap di atas sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) susulan tidak dapat keluar akibat paras air banjir meningkat mendadak.

Dalam kejadian di Jalan Penerangan, Sepupok Niah, Sarawak, bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.09 pagi tadi.

Pasukan dari Balai Bomba Batu Niah diketuai Awang Azwan, bersama lima anggota, sebuah jentera Hilux dan sebuah bot penyelamat digerakkan ke lokasi.

Setiba di lokasi, pasukan penyelamat mendapati semua mangsa masih berada di atas bumbung kenderaan sebagai langkah waspada mengelak arus deras banjir, lapor Astro Awani.

Mangsa kemudian berjaya dipindahkan dalam bot penyelamat sebelum dibawa ke kawasan selamat.

Bomba Sarawak menasihatkan orang ramai agar mengelak kawasan rendah dan laluan sering dinaiki air serta sentiasa patuh arahan keselamatan ketika cuaca tidak menentu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.