Nahas bas Gerik: RM1.7 juta terkumpul menerusi Tabung KPT Prihatin

Nahas bas Gerik: RM1.7 juta terkumpul menerusi Tabung KPT Prihatin

Sebanyak RM371,000 sudah diagih kepada pelajar dan waris terkesan dengan kutipannya akan ditutup pada Jumaat ini.

Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, berkata dana terkumpul itu usaha 40 IPT awam dan swasta, termasuk politeknik dan kolej komuniti selain sumbangan syarikat. (Gambar Bernama)
TANJONG MALIM:
Sejumlah RM1.7 juta terkumpul menerusi Tabung Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Prihatin setakat ini, untuk waris dan mangsa nahas bas membabitkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut di Gerik, baru-baru ini.

Menteri Zambry Abd Kadir, berkata dana terkumpul itu ialah usaha kira-kira 40 institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk politeknik serta kolej komuniti, selain sumbangan pelbagai pihak antaranya agensi kerajaan negeri, institusi bank, dan pihak korporat.

Beliau berkata, tabung khas dikendalikan UPSI itu akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat dan setakat ini sebanyak RM371,000 daripada RM1.7 juta itu telah diserahkan kepada pelajar dan waris yang terkesan.

“Wang itu (RM1.7 juta) akan diberikan kepada keluarga-keluarga mangsa, saya serahkan kepada pihak urus setia yang diketuai oleh Naib Canselor UPSI (Md Amin Md Taff).

“Mereka (pihak IPT) buat gerakan untuk sumbangan daripada pelajar-pelajar, kakitangan, dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tahlil Perdana Untuk Mangsa Insiden Bas Pelajar UPSI di Dewan Tuanku Canselor UPSI.

Turut hadir Menteri Besar Saarani Mohamad, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mustapha Sakmud serta Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah.

Sementara itu, Zambry yang turut menyumbangkan sebulan gajinya sebagai menteri kepada tabung itu berkata ia sebagai satu solidariti bersama dengan keprihatinan ditunjukkan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Md Amin ketika ditemui berkata Tabung KPT Prihatin khusus untuk insiden terbabit dijangka ditutup pada Jumaat ini.

“Apabila kita tutup sumbangan, selepas itu boleh diserahkan terus kepada keluarga (mangsa). Terima kasih, kita cuba lihat mungkin hari Jumaat…untuk tempoh seminggu ini kita tutup,” katanya.

Pada majlis itu, Zambry turut menerima cek cura daripada pihak terlibat dalam memberikan sumbangan antaranya beberapa universiti dan syarikat korporat seperti Syarikat Takaful Malaysia, Malaysian Takaful Association, Lumut Port, Etiqa Takaful, Hong Leong Takaful serta institusi bank.

Dalam kejadian awal pagi 9 Jun, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih, Terengganu ke kampus utama Tanjong Malim, Perak terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.